Oleh: NurDinie Auni Mohd Irfan
Tanjong Malim, 13 Oktober 2025- Perhimpunan rasmi warga Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) merupakan perhimpunan pagi yang melibatkan semua siswa siswi, pensyarah dan juga kakitangan FPM.
Perhimpunan ini diadakan di foyer blok 7, FPM, Universiti Pendidikan Sultan Idris yang merupakan salah satu usaha rintis yang julung kali dilaksanakan dalam menyahut seruan misi dan visi universiti selaras dengan kebitaraan UPSI.
Walaubagaimanapun perhimpunan ini telah diadakan selama tiga kali iaitu setiap hari Isnin bermula 22 September lalu yang melibatkan pelajar Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak, FPM.
Objektif pelaksanaan perhimpunan pagi ini adalah untuk mewujudkan kembali semangat dalam diri siswa siswi sebagai seorang pendidik.



Perhimpunan ini dapat memastikan pelajar-pelajar lebih berdisiplin dari aspek etika dan profesionalisme seorang pendidik serta memahami pengurusan sewaktu bekerja terutamanya setelah menjadi pendidik kelak.
Dalam perhimpunan ini juga, pelajar-pelajar dan warga FPM yang hadir akan mengetahui segala info atau apa-apa maklumat yang disampaikan sewaktu perhimpunan tersebut.
Oleh itu, pelajar akan mengetahui isu semasa yang berlaku samada hal berkaitan fakulti, universiti mahupun isu semasa dunia.
Selain itu, pelajar perlu lebih peka dan belajar untuk sentiasa menepati masa. Perhimpunan ini dapat melatih siswa siswi untuk berkumpul pada awal pagi dengan mengikuti waktu yang ditetapkan.
Walau bagaimanapun setelah 3 hari perhimpunan ini dilaksanakan, hampir semua pelajar Diploma daripada semester 1 dan semester 4 dapat berkumpul dan menghadiri perhimpunan pagi ini dengan baik dengan berpakaian formal menepati ciri-ciri etika pemakaian seorang pendidik.
Perhimpunan akan diteruskan lagi setiap hari Isnin bersama pelajar Ijazah Sarjana FPM yang melibatkan empat jabatan sekaligus memeriahkan lagi perhimpunan pagi FPM, dengan harapan dapat memastikan semua pelajar semakin bersemangat bangun awal pagi dan hadir berjiwa sebagai seorang guru.
Dalam perhimpunan ini, dihadiri Dekan Fakulti Pembangunan Manusia, Prof. Madya Dr. Abdul Talib Mohamed Hasyim turut terlibat sama dalam perhimpunan bersama-sama pelajar. Beliau turut memberikan ucapan kepada semua pelajar bahawa perhimpunan yang diadakan ini adalah penting bagi mengukuhkan jati diri dalam diri pelajar.
Tidak lupa juga, turut hadir barisan Timbalan dekan FPM, pengarah CPRI, ketua jabatan, staf pengurusan dan barisan pensyarah yang hadir mendengar serta memberi ucapan, kata-kata semangat, perkongsian dan menyampaikan info kepada para pelajar.


Perhimpunan yang berlangsung selama 30 minit ini sangat memberi impak yang positif dalam diri siswa siswi.
Sebelum memulakan kuliah pagi, pelajar dapat lebih bersedia dari segi fizikal, mental dan emosi serta lebih bersemangat hadir kuliah menuntut ilmu.
Semoga perhimpunan rasmi ini dapat diteruskan dan semua warga Fakulti Pembangunan Manusia dapat terus memberi komitmen dan menunjukkan prestasi yang baik.
