Oleh: Nur Alya Batrisyia

Tanjong Malim, 8 Oktober 2025 – Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ialah sebuah perhimpunan rasmi bagi setiap badan pelajar di UPSI.

Begitu juga dengan persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (DPAKK) sidang 2024/2025, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) yang mengumpul kesemua ahli persatuan sidang ini dan juga sidang 2025/2026 dalam sebuah mesyuarat yang dijalankan bersama kehadiran seluruh pelajar DPAKK, FPM.

Mesyuarat yang saban tahun diadakan ini membincangkan dan membuat keputusan penting iaitu pembubaran jawatankuasa yang lama, pelantikan barisan kepimpinan baharu, pelaporan aktiviti dan kewangan, serta perancangan hala tuju persatuan.

Mesyuarat ini bukan sahaja membuka ruang pertanggungjawaban, malah menyediakan platform interaksi langsung antara ahli dan kepimpinan persatuan.

Ia adalah mekanisme penting bagi memastikan kesinambungan, ketelusan, dan keberkesanan sesuatu organisasi yang menjaga nama persatuan, jabatan, fakulti mahupun universiti.

Program ini juga memberi peluang kepada ahli untuk menilai semula prestasi persatuan sepanjang sidang 2024/2025 yang lalu termasuk penilaian terhadap aktiviti dan pencapaian yang telah dilaksanakan selaras dengan objektif penilaian keberkesanan dan impak program terdahulu.

Sambutan berterusan dengan ucapan penuh inspirasi daripada Penasihat Persatuan, diikuti perasmian rasmi oleh Prof. Madya Dr. Halim bin Masnan menandakan pembukaan program secara formal.

Persatuan bukan sahaja melahirkan seorang pelajar yang bertanggungjawab malah melahirkan seorang insan yang mempunyai ciri kepimpinan yang terbilang pada masa hadapan.

Seterusnya, mesyuarat dimulakan dengan pembentangan laporan program oleh Setiausaha persatuan, yang membentangkan laporan aktiviti dan juga pencapaian sepanjang sidang 2024/2025. Laporan kewangan oleh Bendahari kemudian memberikan gambaran ketelusan penggunaan dana, yang membuktikan akauntabiliti persatuan sepanjang program yang dijalankan berlangsung.

Bagi menghidupkan lagi suasana AGM, satu video montaj ditayangkan dengan memaparkan detik-detik memori sepanjang sidang 2024/2025. Dengan tayangan montaj ini memberi semangat kepada ahli sidang baharu untuk bersama-sama menaikkan nama persatuan DPAKK dengan lebih tinggi dan komited.

Suasana mesyuarat menjadi meriah dengan sesi penyampaian beberapa anugerah kepada ahli sidang yang lalu. Sebagai tanda penghargaan, majlis menyampaikan Anugerah Khas seperti Majlis Tertinggi Terbaik, Exco Terbaik, Rakan Exco Terbaik, Program Terbaik dan penghargaan khas kepada Penasihat persatuan.

Suasana mesyuarat diserikan lagi dengan persembahan istimewa oleh ahli persatuan dengan tarian dan nyanyian yang menarik, diselang selikan dengan sesi cabutan bertuah. Ucapan perpisahan oleh Yang Dipertua persatuan sidang 2024/2025 menyentuh perjalanan dan cabaran yang telah dilalui, sebelum pengumuman secara rasmi tertubuhnya Barisan Kepimpinan Sidang 2025/2026 dan perletakan jawatan secara rasmi juga oleh ahli jawatankuasa persatuan sidang 2024/2025. Pada detik ini, bacaan ikrar dilafazkan sebagai tanda permulaan organisasi baharu terlaksana komitmen dan tanggungjawab digalas.

Persembahan video korporat yang mewakili misi dan visi sidang baharu turut ditayangkan, seterusnya diikuti dengan sesi ikrar barisan kepimpinan sebagai simbol komitmen dan kebersamaan dalam organisasi yang baharu.

Yang Dipertua sidang 2025/2026 saudari Nur Dinie menyampaikan ucapan pertamanya, menyuntik semangat serta menzahirkan hala tuju persatuan yang kian tercorak.

Majlis berakhir dengan sesi fotografi bersama-sama ahli jawatankuasa sidang lama dan baharu serta semua yang hadir seterusnya diikuti dengan nyanyian lagu semangat “Revolusi PAKK”, sekaligus menjelmakan harapan dan semangat setiakawan sebelum majlis bersurai.

Program ini berjaya mencapai objektif yang telah dihasratkan iaitu membubarkan ahli jawatankuasa sidang 2024/2025 dan melantik ahli jawatankuasa baharu Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak sidang 2025/2026 serta memberi peluang kepada semua ahli Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak UPSI yang baharu untuk berinteraksi antara satu sama lain

Tahniah diucapkan kepada semua yang hadir memeriahkan program dengan jayanya. Dengan menjadi warga ibu kandung suluh budiman, di sinilah tempat mencari ilmu, di sini jualah lahirnya seorang pendidik dan mahasiswa/i yang kaya akhlak dan adabnya.

Semoga dengan peluang ini dapat memberi semangat kepada pelajar Diploma yang baharu menjejakkan kaki ke UPSI ini untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran dan budaya UPSI tercinta ini.