Oleh: Geneavie Mielrynna

Tanjong Malim, 24 SEPTEMBER 2025Pentas Gemalai Adat Noh: World to Traditional Culture (PENGAN) merupakan program anjuran Exco Kesenian dan Kebudayaan dan Exco Perhubungan Awam dan Antarabangsa bawah Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kank-Kanak (DPAKK) sidang 2025/2026, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM).

Program ini melibatkan 46 orang peserta dan penonton yang merupakan warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang telah menunjukkan bakat dalam bermain permainan tradisional sekaligus mengenal kepelbagaian budaya yang ada di Malaysia.

Objektif pelaksanaan program ini dianjurkan adalah untuk meningkatkan pemahaman dalam kalangan mahasiswa/i UPS terhadap kepelbagaian budaya tradisional masyarakat Malaysia melalui pengisian berinformasi seperti pertandingan kebudayaan, booth dan talkshow.

Selain itu, program ini juga dapat mendedahkan mahasiswa/i kepada elemen-elemen budaya tradisional seperti permainan, pakaian dan alat muzik tradisional sebagai sebahagian daripada warisan budaya yang perlu diperkenalkan dan dikongsikan secara berkesan kepada komuniti kampus.

Selain itu, program ini juga dapat memupuk semangat perpaduan dan sikap saling menghormati sesama ahli masyarakat melalui interaksi budaya pelbagai kaum serta menyemai kemahiran berkomunikasi merentas budaya dan latar belakang pelbagai etnik.

Program ini dimulakan dengan gimik pembukaan tarian oleh Kelab Bilangi Da’Ras iaitu di bawah bimbingan Kelab Kesenian dan Kebudayaan Persatuan DPAKK, FPM. Persembahan tarian ini merupakan gabungan semua tarian tradisional yang ada di Malaysia seperti Ngajat, Tarian Zapin, Tarian Sumazau dan Tarian Tradisional India.

Program ini telah lancar dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Abdul Talib Bin Mohamed Hashim iaitu Dekan Fakulti Pembangunan Manusia dan dihadiri juga oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim Bin Masnan, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Puan Norrulkamari Binti Daud, Penasihat Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Puan Farhana Nohrin Binti Mohd Anuar, Pensyarah Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak.

Menurut Nurin Izwani Binti Abdul Rahim selaku Pengarah Program Pentas Gemalai Adat Noh: World to Traditional Culture, program ini bukan sekadar menunjuk, malah menambah pengetahuan setiap mahasiswa/i dalam mengenali permainan tradisional, alat musik dan pakaian. Begitu juga, program ini dijalankan bagi mengeratkan lagi hubungan sesama sendiri tanpa mengira bangsa mahupun kaum.

Seterusnya, pengisian program dimulakan dengan sesi Sharing Talk : Kenali Budaya yang  dikendalikan oleh moderator dan panel khas iaitu Dr. Rosliah Kiting yang merupakan pensyarah daripada Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI. Sharing talk ini mendedahkan tentang budaya Malaysia dan juga luar negara di samping adanya demonstrasi tarian daripada pelajar bawah seliaan Dr. Rosliah. Tambahan, dengan pendedahan demonstrasi ini dapat memberi gambaran jelas kepada seluruh yang hadir mengenali pelbagai budaya dan elemen dalam kesenian.

Seterusnya, program diteruskan dengan sesi pertandingan permainan tradisional secara berkumpulan seperti permainan batu seremban, congkak dan baling selipar. Permainan ini bertujuan untuk mengasah bakat mahasiswa/i dalam aspek tumpuan, strategi dan kerjasama, di samping menghidupkan semula warisan budaya tradisional masyarakat Malaysia. Selain itu, ia juga dapat memupuk semangat kesukanan dan mengeratkan hubungan sesama peserta serta mengurangkan tekanan akademik.

Selain itu, terdapat juga pameran booth yang terdiri daripada pameran pakaian tradisional dan alat muzik. Melalui pameran ini, para peserta berpeluang memahami, mengetahui dan melihat dengan lebih dekat keunikan dan kehalusan seni warisan bangsa yang tercermin dalam rekaan pakaian tradisional serta keindahan bunyi yang dihasilkan daripada pelbagai jenis alat muzik. Sesi ini juga dapat memupuk rasa bangga terhadap identiti budaya tempatan serta menanam semangat untuk terus menghargai dan melestarikan warisan turun-temurun agar tidak pupus ditelan zaman.

Tidak dilupakan juga dengan sesi pengucapan awam yang telah disampaikan oleh para peserta. Pengucapan awam bukar sekadar memberi kata tetapi telah memberi dan menambahkan pengetahuan yang lebih mendalam berkaitan dengan budaya kita di Malaysia. Mereka telah menyampaikan sebuah pengetahuan dengan mendalam dari segi penggunaan bahasa, cara penyampaian dan nada suara yang sangat sedap didengar.

Akhir sekali, majlis ini diakhiri dengan penyampaian hadiah dan sijil kepada para pemenang dan tidak dilupakan juga sesi penghargaan kepada panel dan rakan kolaborasi yang terlibat dalam menjayakan program ini. Sesi cabutan bertuah juga turut diadakan bagi memeriahkan lagi program ini.

Tahniah diucapkan kepada semua peserta dan semua yang dalam menjayakan program ini dengan penuh komitmen. Tidak dilupakan juga kepada ahli jawatankuasa program ini kerana memberi komitmen yang tinggi semasa program berlangsung. Begitu juga kepada Majlis Tertinggi program kerana dapat menjayakan program dengan baik dan segala salah silap perlulah dilupakan, bak kata pepatah “ambil yang jernih, buang yang keruh”.