Oleh: Nur Syahmin Balqis
Tanjong Malim, 21 SEPTEMBER 2025 – Fun Run Splash & Dash merupakan program larian anjuran Exco Sukan dan Rekreasi di bawah Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DPAKK) sidang 2025/2026, Fakulti Pembangunan Manusia ( FPM ).
Program larian yang disertai oleh 330 orang peserta ini berbeza daripada program Fun Run yang lain kerana larian ini disertai dengan semburan serbuk berwarna-warni atau lebih terkenal dengan panggilan “Colour Run”.
Hal ini menyebabkan program ini bukan sahaja menjadi tarikan pelajar-pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), malah turut mendapat sambutan baik daripada komuniti luar atau penduduk sekitar Tanjong Malim, Perak.



Objektif pelaksanaan program ini dianjurkan ialah bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti larian santai yang menyeronokkan.
Selain itu, menggalakkan penglibatan warga UPSI dan komuniti dalam aktiviti riadah yang mampu memupuk semangat kesukanan, kebersamaan dan silaturahim.
Unsur keseronokan seperti Colour Run turut diketengahkan bagi memberi pengalaman unik kepada peserta, di samping mengurangkan tekanan serta meningkatkan kesejahteraan mental dan fizikal.
Akhir sekali, tidak dapat dinafikan lagi bahawa program ini juga bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan dalam kalangan peserta dan komuniti setempat.



Program larian ini dimulakan dengan aktivti pemanasan badan iaitu aktiviti senamrobik ringkas yang dikendalikan oleh 15 orang ahli jawatankuasa program termasuk beberapa orang ahli Persatuan Diploma PAKK. Seterusnya, peserta mula bersedia di garisan mula untuk trek larian iaitu sejauh 3 kilometer.
Sementara menunggu para peserta sampai di garisan penamat, ketibaan para VIP disambut. Antaranya, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TDHEPA), Fakulti Pembangunan Manusia, Pihak Bomba dan Penyelamat Tanjong Malim, Perak dan penasihat persatuan DPAKK.
Aktiviti larian disudahi dengan aktiviti yang dinanti-nantikan oleh semua peserta iaitu aktiviti bersama pihak bomba.


Suasana bertambah meriah kerana setibanya mereka di garisan penamat, peserta akan diraikan dengan semburan air bomba dan para peserta akan meraikannya dengan membaling serbuk warna kepada rakan-rakan mereka.
Untuk majlis penutup ucapan Pengarah Program iaitu saudari Nuranis Wildani dan diikuti dengan ucapan dan perasmian oleh TDHEPA, FPM.
Tidak dilupakan, penghargaan berbentuk plak disampaikan kepada wakil Pihak Bomba dan Penyelamat Tanjong Malim, Perak kerana sudi memenuhi jemputan dan memberi kerjasama yang baik sepanjang program berlangusng.


Sebelum mengakhiri program, pihak penganjur amatlah menghargai semua peserta yang menyokong program ini sehingga mendapat sambutan yang tidak disangka-sangka bukan sahaja dalam kalangan mahasiswa/i UPSI malah turut mendapat sambutan dari komuniti luar.
Oleh hal yang demikian, pihak penganjur berbesar hati mengadakan sesi cabutan bertuah sebagai tanda terima kasih dan kenang-kenangan kepada yang bertuah.
Secara keseluruhannya, objektif program Fun Run Splash & Dash telah berjaya dicapai dengan cemerlang. Hal ini dapat dibuktikan melalui beberapa pencapaian dan maklum balas positif yang diberikan oleh peserta sepanjang program berlangsung.
Selain itu, penganjur turut membuka peluang pada saat-saat akhir kepada mahasiswa/i UPSI dengan membuka kaunter pendaftaran secara walk-in.
Tambahan lagi, aktiviti bersama pihak bomba telah memberikan pengalaman yang menyeronokkan kepada peserta.
Secara keseluruhannya, perjalanan program ini juga berjalan lancar seiring dengan tentatif yang telah ditetapkan. Malah, para peserta menyatakan rasa teruja dan menantikan agar program seumpama ini dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang.


Tahniah diucapkan kepada semua peserta yang terlibat kerana mampu melibatkan diri secara aktif walaupun ketika waktu hujung minggu atau mood bercuti dengan memilih untuk menyertai aktiviti larian Fun Run Splash & Dash.
Sudah terang lagi bersuluh, mengambil berat dan bertanggungjawab terhadap diri sendiri amatlah penting kerana kesihatan diri merupakan perkara yang paling berharga berbanding harta. Bak kata pepatah, “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.
