Oleh: Alia Ayuni dan Alya Adawiyah

Tanjong Malim, 20 September 2025 – Program Born for Glory: PUBG Tournament telah dilaksanakan dengan jayanya di Dewan Kuliah Pusat 2 (DKP 2), Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) anjuran Exco Media, Publisiti dan Informasi Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DPAKK) Sidang 2025/2026.

Kolaborasi strategik bersama Persatuan Permainan Digital (PPD), UPSI turut menjadi pemangkin utama kejayaan program ini.

Penglibatan mereka bukan sahaja dari aspek teknikal, bahkan turut membantu dalam susun atur sistem permainan serta kawalan perjalanan pertandingan bagi memastikan kelancaran sepanjang acara berlangsung.

Program yang melibatkan seramai 40 orang peserta dari kalangan belia yang juga merupakan mahasiswa/i UPSI ini merupakan inisiatif untuk memberi ruang kepada golongan belia muda meluangkan masa dengan aktiviti yang sihat dan menyeronokkan di samping dapat mengurangkan tekanan pembelajaran harian.

Objektif utama program ini bukan sahaja terarah kepada aspek hiburan, malah bertujuan untuk memupuk nilai-nilai murni seperti kerjasama berpasukan, kepimpinan, hormat-menghormati serta semangat perpaduan dalam kalangan pelajar.

Program ini juga memberi ruang kepada ahli Exco dan Rakan Exco Media, Publisiti dan Informasi untuk mengasah bakat serta meningkatkan kemahiran pengurusan dalam menganjurkan program berskala besar.

Program ini dimulakan dengan pendaftaran dan kehadiran peserta, disusuli dengan bacaan doa, ucapan aluan pengarah program dan taklimat ringkas berkaitan peraturan serta susunan permainan. Pertandingan ini melibatkan lima pusingan.

Setiap pusingan menyaksikan persaingan sengit antara kumpulan-kumpulan yang bertanding dalam suasana yang penuh semangat dan profesional.

Para peserta menunjukkan komitmen dan fokus yang tinggi dalam mengejar kemenangan, sambil mempamerkan nilai kerjasama dan strategi dalam kumpulan masing-masing.

Turut memeriahkan suasana dengan kehadiran Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TDHEPA), Fakulti Pembangunan Manusia, Prof. Madya Dr. Abdul Halim Masnan, juga sudi meluangkan masa bersama meskipun jadual tugas yang padat.

Dalam ucapan perasmian penutupan beliau, beliau menekankan bahawa permainan ini merupakan satu fenomena.

“Ia bukan sekadar permainan untuk mengisi masa lapang, malah PUBG juga turut dijadikan kerjaya yang mampu menjana pendapatan melalui social media.”

Beliau turut menasihati peserta agar mengaharumkan nama UPSI di peringkat antarabangsa melalui peluang yang ada dan tidak meninggalkan pelajaran meskipun sibuk dengan aktiviti lain.

Kehadiran beliau memberi suntikan semangat kepada para belia yang menyertai program ini dan AJK pelaksana.

Selain itu, menurut Dhiya Najihah Azhar, selaku Pengarah Program, PUBG Tournament bukan sekadar pertandingan e-sukan semata-mata, malah platform ini membuka peluang kepada pelajar untuk bersosial secara sihat dan mengeratkan silaturrahim dalam kalangan peserta.

Selain itu, kehadiran penonton yang memenuhi ruang DKP 2 menyerikan lagi suasana pertandingan dengan sorakan dan tepukan gemuruh daripada rakan-rakan mahasiswa/i menambahkan motivasi kepada para peserta untuk terus berjuang hingga ke pusingan terakhir.

Hal ini menunjukkan bahawa e-sukan bukan sekadar hiburan, bahkan mampu menjadi medium mengeratkan hubungan antara peserta dan mewujudkan suasana kampus yang lebih inklusif.

Sesi penutup, program diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang, disusuli dengan sesi fotografi kenangan bersama semua peserta, AJK pelaksana dan jemputan yang hadir.

Para pemenang telah menerima hadiah menarik sebagai penghargaan atas pencapaian mereka iaitu Johan membawa pulang wang tunai sebanyak RM60 beserta medal dan sijil penghargaan manakala Naib Johan pula menerima wang tunai sebanyak RM45 beserta medal dan sijil penghargaan.

Bagi pemenang tempat ketiga membawa pulang wang tunai sebanyak RM35 turut disertakan dengan medal dan sijil penghargaan.

Selain itu, pemenang tempat keempat dan kelima juga tidak pulang dengan tangan kosong kerana masing-masing turut menerima medal dan e-sijil penghargaan sebagai tanda pengiktirafan.

Majlis berlangsung lancar dan meriah dengan sokongan semua pihak yang terlibat.

Program ini turut memberi impak yang besar kepada AJK pelaksana yang terdiri daripada Exco dan Rakan Exco Persatuan DPAKK.

Mereka berpeluang menimba pengalaman sebenar dalam pengurusan acara, bermula daripada perancangan, penyelarasan sehingga pelaksanaan program, di samping meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran komunikasi.

Keseluruhannya, program Born for Glory: PUBG Tournament berjaya mencapai matlamat yang disasarkan dan meninggalkan kesan positif kepada semua yang terlibat.

Maklum balas daripada kebanyakan peserta agar meneruskan lagi program sebegini pada masa akan datang dengan penglibatan yang lebih besar, sekaligus menyemarakkan semangat kerjasama dan kesukanan walaupun secara digital.

Penganjuran program memberi keberkesanan yang baik kepada peserta malah maklum balas yang positif.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua peserta dan AJK pelaksana program!