Oleh: Dayang Maisarah Muhamat

Tanjong Malim, 26 Oktober 2025 – Program Fun Walk 4 World Peace Malaysia 2025 telah berlangsung dengan penuh meriah di perkarangan Gerbang Suria, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program ini menghimpunkan ratusan peserta yang terdiri daripada mahasiswa, staf universiti serta masyarakat setempat bagi menyemarakkan mesej keamanan sejagat dan menggalakkan gaya hidup sihat.

Pelbagai aktiviti santai berkonsepkan kekeluargaan turut diadakan bagi memeriahkan suasana termasuk cabutan bertuah utama yang menawarkan hadiah menarik seperti sebuah Perodua Axia dan motosikal Benelli VZ125i. Penganjuran program ini menumpukan kepada usaha membudayakan keharmonian sosial dan memperkukuh kerjasama komuniti selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 16 – Peace, Justice and Strong Institutions yang menekankan kepentingan keamanan dan kesejahteraan masyarakat sebagai asas kestabilan negara.

Sebagai sebuah persatuan yang aktif dalam kegiatan pembangunan komuniti dan advokasi sosial, Persatuan Geografi (PERGEO) turut menyertai program ini melalui pembukaan booth pameran oleh Exco Seminar dan Pameran (Seminex). Booth tersebut menampilkan elemen pendidikan keamanan, kesedaran sosial serta geografi kemanusiaan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap isu-isu global dan nilai kemanusiaan sejagat.

Selain itu, Exco Ekonomi dan Keusahawanan (Ecenex) turut mengadakan aktiviti jualan bagi menggalakkan penglibatan ahli dalam bidang keusahawanan sosial serta menjana sokongan dana untuk kelangsungan aktiviti persatuan pada masa hadapan.

Penyertaan Persatuan Geografi (PERGEO) dalam program ini bukan sahaja meningkatkan keterlibatan mahasiswa dalam aktiviti kesukarelawanan malah membuka ruang kepada ahli untuk memperkukuh nilai kemanusiaan, kepimpinan serta pembelajaran berasaskan komuniti. Melalui penglibatan ini, ahli PERGEO berpeluang mengaplikasikan ilmu dan peranan geografi dalam konteks kesejahteraan masyarakat secara lebih menyeluruh dan bermakna.

Penyertaan Persatuan Geografi (PERGEO) dalam Fun Walk 4 World Peace Malaysia 2025 bukan sahaja memperkukuh peranan persatuan sebagai individu yang memperjuangkan keamanan dan keterlibatan sosial malah berjaya memupuk kesedaran mahasiswa dan orang luar terhadap kepentingan keharmonian sejagat melalui aktiviti berteraskan nilai komuniti, pendidikan dan kemanusiaan.     

Melalui penglibatan ini juga, PERGEO berjaya meneguhkan kedudukannya sebagai sebuah persatuan yang bukan sekadar aktif di peringkat kampus tetapi turut menyumbang secara signifikan kepada pembentukan generasi mahasiswa yang berjiwa prihatin, bertanggungjawab serta peka terhadap isu-isu global yang mempengaruhi kesejahteraan masyarakat. Secara tidak langsung penyertaan sebegini mencerminkan komitmen berterusan PERGEO dalam melahirkan mahasiswa yang mempunyai kesedaran sivik yang tinggi sekali gus menjadi pemangkin kepada pembudayaan keamanan dan kesejahteraan dalam komuniti.