Tanjong Malim, 6 November 2025 — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi mengorak langkah sebagai peneraju inovasi dalam bidang kaunseling, pendidikan dan kesejahteraan melalui penganjuran International Counselling, Mental Health and Wellness Innovation Competition (INNOCARE 2025), sebuah platform berprestij yang menghimpunkan penyelidik, inovator, pengamal industri dan akademia dari dalam serta luar negara.

Penganjuran tahun ini dimulakan dengan program Pre-INNOCARE 2025 menerusi Webinar Inovasi Kaunseling, Pendidikan dan Kesejahteraan yang berlangsung pada 5 November 2025 melalui platform Microsoft Teams.

Webinar tersebut menarik penyertaan yang menggalakkan seramai 300 peserta dan menampilkan dua tokoh ternama sebagai penceramah utama. Slot pertama bermula pada jam 2.30 petang dengan perkongsian oleh Datin Dr Norizan Razali, Pengasas dan Pengarah Urusan Tech Capacity Sdn. Bhd., yang membincangkan topik “Mendepani Cabaran Gen Z dan Alpha melalui Teknologi Digital”.

Beliau menekankan keperluan pendidik dan kaunselor untuk memahami dinamika generasi baharu serta mengintegrasikan teknologi dalam pendekatan intervensi.

Slot kedua diteruskan oleh pakar kaunseling terkenal, Tuan Haji Hushim Salleh, yang menyampaikan tajuk “Intervensi Efektif: Strategi Urus Kes Kaunseling Abad ke-21”.

Sesi ini memberi pencerahan kepada peserta mengenai strategi pengurusan kes yang relevan dalam landskap kaunseling masa kini.

Program kemuncak, INNOCARE 2025, berlangsung pada 6 November 2025, menampilkan pelbagai pengisian berbentuk perkongsian ilmu, pameran inovasi serta pertandingan produk inovatif.

Antara sesi tumpuan adalah perkongsian Industri dan Akademik, dimulakan oleh Dr Norisham Hj Abd Ghani, Pengarah Pusat Latihan dan Kaunseling Shamzye Aims.

Beliau menyentuh aspek kolaborasi industri–akademia dalam memperkukuh ekosistem kesihatan mental negara.

Perkongsian diteruskan oleh Faisal Athar Mohd Fadzil, Pengurus Vortex XR Lab, Taylor’s University Kuala Lumpur, yang memfokuskan aplikasi teknologi XR dalam pendidikan dan intervensi kaunseling moden.

Slot Industry Success Stories yang berlangsung dari jam 2.30 hingga 3.30 petang pula disampaikan oleh Puan Jamaida Jamaludin, Penolong Pengurus Seksyen Psikologi dan Kaunseling KWSP.

Beliau berkongsi kejayaan pelaksanaan program kesejahteraan psikologi di organisasi besar serta impaknya kepada produktiviti pekerja.

Tahun ini, sebanyak 66 produk inovasi dipertandingkan, merangkumi penyertaan dari dalam dan luar negara. Daripada jumlah tersebut, 44 produk berjaya disenarai pendek ke peringkat akhir. Hasil penjurian menyaksikan 27 pingat emas, 25 pingat perak dan 14 pingat gangsa berjaya dimenangi oleh para inovator.

Penganugerahan paling berprestij, Best Innovation Award INNOCARE 2025, dimenangi oleh Dr Khoo Kian Yong melalui inovasi bertajuk “Heart-Brain Detection (HBD): A Biofeedback Screening Method for Burnout Prevention and Recovery”. Inovasi ini mendapat perhatian juri atas potensi besar dalam saringan awal dan pencegahan burnout secara saintifik dan berkesan.

Majlis Perasmian Penutup INNOCARE 2025 disempurnakan oleh Dato’ Dr Abd Halim Mohd Hussin, Presiden Perkama International, yang dalam ucapannya menegaskan peri pentingnya inovasi dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kaunseling dan kesejahteraan masyarakat.

INNOCARE 2025 sekali lagi membuktikan komitmen UPSI dalam menerajui agenda inovasi pendidikan, kaunseling dan kesejahteraan, seiring visi universiti sebagai peneraju kecemerlangan pendidikan negara.

Program ini bukan sahaja membuka ruang kolaborasi, malah menjadi platform strategik untuk mengetengahkan penyelidikan dan inovasi yang mampu memberi impak kepada masyarakat dan negara.