Tanjong Malim— Program latihan khas “Smart Hafazan kepada guru-guru Tabika Tunas Istimewa KEMAS telah dilaksanakan dengan jayanya melalui kolaborasi strategik antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Latihan ini menjadi satu langkah penting dalam memperkukuh pelaksanaan Tabika Tunas Istimewa, yang memberi ruang pembelajaran awal yang lebih sesuai, fleksibel dan mesra keperluan bagi kanak-kanak autisme di Malaysia.

Latihan dikendalikan oleh Dr. Sakinah Salleh, Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI, dengan sokongan Prof. Madya Dr. Norazilawati Abdullah, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) UPSI, serta Dr. Hasrul bin Hosshan, Pengarah Centre for Inclusive Research on Community and Disability (CIRCLE).

Turut bersama menjayakan program ini ialah Dr. Ab Halim Sulung, Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Khas, FPM UPSI, yang membimbing peserta memahami strategi pengajaran berkesan untuk kanak-kanak autisme.

SMART ialah singkatan kepada Structured Memorisation Approach with Repetition and Training merupakan satu kaedah hafazan berstruktur yang direka khusus untuk kanak-kanak berkeperluan khas, terutamanya anak-anak autisme.

Pendekatan ini berdasarkan Kurikulum dan Modul Hafazan Thalatha Tis’a yang merupakan program pertama di Malaysia yang menyediakan peluang memghafaz Al-Quran dari seawal usia tiga tahun hingga tamat hafaz 30 juzul Al-Quran diusia Sembilan tahun. Kurikulum dan Modul ini diubahsuai untuk memenuhi keperluan hafazan anak-anak autisme.

Kaedah Smart Hafazan untuk anak-anak autisme ini menekankan pengulangan aktif, isyarat visual dan audio, aktiviti berasaskan deria (sensory learning) serta bimbingan emosi dan tumpuan berstruktur, menjadikan pembelajaran hafazan lebih menyeronokkan, mudah difahami dan sesuai dengan pola pemikiran kanak-kanak autisme.

Menurut Dr. Sakinah Salleh, latihan ini memperkukuh keyakinan guru bahawa setiap kanak-kanak autisme mempunyai potensi tinggi untuk belajar dan menghafaz apabila diajar dengan cara yang sesuai dengan mereka.

“Melalui Tabika Tunas Istimewa, kita membuka ruang pembelajaran yang meraikan kepelbagaian. Pendekatan Smart Hafazan membantu guru mengenal pasti kekuatan fokus, memori visual dan keupayaan adaptif anak-anak autisme,” jelas beliau.

Prof. Madya Dr. Norazilawati menegaskan bahawa latihan ini adalah sebahagian daripada usaha memperkasa pelaksanaan Tabika Tunas Istimewa sebagai model pendidikan awal nasional di bawah KEMAS.

“Guru Tabika Tunas Istimewa perlu dilengkapi kemahiran SMART  iaitu Structured, Mindful, Adaptive, Responsive dan Therapeutic  supaya mereka mampu mendidik anak-anak autisme dengan kasih, kefahaman dan profesionalisme,” katanya.

Dr. Hasrul bin Hosshan, Pengarah CIRCLE, menyatakan bahawa UPSI menyokong penuh inisiatif KEMAS dalam memperluas pelaksanaan Tabika Tunas Istimewa yang telah dirintis di beberapa tabika di Melaka.

“CIRCLE melihat Tabika Tunas Istimewa sebagai pelaburan sosial penting negara. Ia membuka peluang pendidikan awal yang lebih adil dan berdaya saing untuk anak-anak autisme. Kami juga akan melaksanakan projek RANGERS (Research and Guidance on Neurodiverse Growth and Educational Readiness Skills) di Tabika Tunas Istimewa Bagan Datuk sebagai tapak kajian rintis pertama bagi memperkukuh pelaksanaan latihan berasaskan penyelidikan,” ujarnya.

Latihan teori telah dijalankan selama tiga hari iaitu pada 4 hingga 6 November 2025, manakala latihan praktikal akan diteruskan pada 11 dan 13 November 2025 di UPSI, sebagai sebahagian daripada fasa pembuktian konsep projek RANGERS.

Dalam ucapan penutup majlis, Tuan Haji Zahiruddin, Timbalan Pengarah Operasi KEMAS, memaklumkan bahawa inisiatif Tabika Tunas Istimewa kini mendapat perhatian nasional.

“Seperti yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, KEMAS menyasarkan agar setiap daerah mempunyai sekurang-kurangnya satu Tabika KEMAS Autisme. Pelaksanaan awal akan bermula pada 2026 dengan konsep satu negeri satu tabika autisme, sebelum diperluas kepada satu daerah satu tabika autisme,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa latihan Smart Hafazan menjadi asas penting bagi memperkukuh kualiti guru Tabika Tunas Istimewa, sekali gus memperlihatkan potensi besar anak-anak autisme untuk berjaya melalui pendidikan awal yang terancang dan menyeluruh.

Program ini menerima sambutan positif daripada para guru KEMAS yang menyifatkannya sebagai latihan yang membuka perspektif baharu terhadap cara mengajar, memahami dan menghargai dunia anak-anak autisme.

“UPSI amat berbangga dapat berganding bahu dengan KEMAS dalam memperkasa Tabika Tunas Istimewa sebagai ruang pembelajaran terbaik untuk anak-anak autisme membina keyakinan, kemahiran dan masa depan mereka,” ujar Dr. Hasrul Hosshan menutup laporan.