Oleh: Dr. Noor Wahida Md Junus
Tanjung Malim, 29 Oktober 2025 – Jabatan Matematik, Fakulti Sains dan Matematik (FSM) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya melaksanakan bengkel bertajuk “Dari Data ke Dashboard: Menyinar Dalam Projek Tahun Akhir” bertempat di DKP 10, UPSI.
Bengkel ini disertai oleh lebih 170 orang pelajar tahun akhir daripada program ISMP Matematik dan ISM Sains (Matematik) dengan Pendidikan yang sedang menjalankan Projek Tahun Akhir (FYP).
Bengkel ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tentang kaedah analisis data menggunakan perisian Microsoft Excel dan IBM SPSS Statistics, serta memperkenalkan aplikasi Microsoft Power BI sebagai platform visualisasi data interaktif.


Inisiatif ini selaras dengan hasrat FSM untuk memperkukuh kemahiran analitik dan literasi digital pelajar bagi memenuhi tuntutan dunia pekerjaan berasaskan data dan teknologi masa kini.
Program dimulakan dengan sesi bimbingan langkah demi langkah analisis data tinjauan dan pembangunan menggunakan Microsoft Excel dan IBM SPSS Statistics yang disampaikan oleh Pensyarah Jabatan Matematik merangkap Penyelaras Kursus Projek Tahun Akhir, Dr. Noor Wahida Md Junus.
Seterusnya, bengkel diteruskan dengan sesi perkongsian oleh alumni Program ISM Sains (Matematik) dengan Pendidikan, Nur Farah Asyiqin Yaakob Stanley, yang berkongsi pengalaman sebenar penggunaan Power BI dalam industri.
Sepanjang bengkel, peserta dibimbing secara hands-on menggunakan set data kajian sebenar untuk menjalankan analisis deskriptif, ujian kebolehpercayaan (Cronbach’s Alpha), serta membina laporan visual interaktif melalui Power BI.
Peserta juga belajar bagaimana menukar dapatan statistik kepada dashboard yang menarik, profesional dan mudah difahami.



Bengkel ini mendapat sambutan luar biasa daripada pelajar yang menyatakan bahawa pendedahan kepada aplikasi seperti Power BI bukan sahaja membantu dalam menyiapkan Projek Tahun Akhir, malah memberi nilai tambah untuk kerjaya mereka kelak.
“Sebelum ini saya hanya gunakan Excel untuk kiraan asas, tetapi selepas bengkel ini saya dapat hasilkan dashboard interaktif yang cantik dan profesional. Ia bukan sekadar membantu untuk FYP, tetapi sangat berguna bila bekerja nanti,” ujar seorang peserta dengan penuh semangat.
Melalui penganjuran bengkel ini, FSM terus menunjukkan komitmen dalam memperkasakan pelajar dengan kemahiran analisis dan visualisasi data yang relevan dengan kehendak industri, sejajar dengan aspirasi UPSI sebagai universiti peneraju pendidikan berteraskan teknologi dan inovasi.

