Oleh : Prof Madya Dr. Mazlini Adnan, En. Khairul Nizam Ahmad, Pn. Syaza Wani Halim, Dr. Yulyanti Harisman, Dr. Resmi Darni, Dra. Sri Elniati, Hafizatunnisa dan Aqilul Asra.
Bagan Datuk, 29 Oktober 2025 – Pendekatan pembelajaran berasaskan Project-Based Inquiry Learning (PIL) yang berintegerasikan STEM dan Etnomatematik terhadap murid semakin diterapkan dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran (Pdp) guru.
Secara umumnya, Etnomatematik ialah pendekatan pembelajaran matematik yang mengaitkan pengetahuan dan kemahiran matematik dengan konteks budaya, tradisi, seni, dan amalan masyarakat tempatan.
Pendekatan ini dapat menggalakkan murid meneroka pengetahuan secara aktif melalui inkuiri dan penyelesaian masalah sebenar yang berasaskan budaya serta amalan masyarakat tempatan.
Pendekatan ini telah diterapkan dalam satu penyelidikan pendidikan di SK Simpang Tiga, Bagan Datuk yang menggabungkan murid-murid daripada dua buah sekolah iaitu SK Simpang Tiga dan SK Matang Kunda.



Penyelidikan ini merupakan hasil kerjasama antara penyelidik dari Universitas Negeri Padang (UNP), Indonesia dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Malaysia. Prof Madya Dr. Mazlini Adnan merupakan wakil penyelidik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Tiga menerima kunjungan penyelidik daripada Universitas Negeri Padang (UNP), Indonesia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Malaysia bagi melaksanakan sesi pembelajaran berasaskan Project-Based Inquiry Learning (PIL) yang berintegerasikan STEM dan Etnomatematik. Kunjungan selama satu hari itu diketuai oleh Dr. Yulyanti Harisman dari UNP bersama Dra. Sri Elniati, Hafizatunnisa, Aqilul Asra serta Prof Madya Dr. Mazlini Adnan dari UPSI.
Projek ini dilaksanakan oleh Hafizatunnisa dan Aqilul Asra secara sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam bilik darjah dan di gelanggang sekolah. Para penyelidik mengaitkan permainan tradisional Galah Panjang dan Sepak Rago dengan konsep Matematik moden.
Pendekatan ini menggabungkan elemen Etnomatematik, iaitu penerapan nilai budaya dan amalan masyarakat tempatan dalam konteks pembelajaran Matematik, serta STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) bagi menggalakkan pemikiran saintifik, kreativiti dan penyelesaian masalah.
Melalui aktiviti ini, murid bukan sahaja belajar menerapkan konsep Matematik seperti sudut dan luas permukaan, tetapi juga memahami bagaimana unsur budaya tradisional mempunyai kaitan rapat dengan prinsip Matematik.
Pendekatan ini berjaya menarik perhatian serta penglibatan aktif murid yang bukan sahaja bersaing secara sihat dalam melaksanakan permainan, tetapi turut menunjukkan keupayaan mereka berfikir secara kritis dan kreatif dalam menyelesaikan masalah yang diberi.
Aktiviti berasaskan Project-Based Inquiry Learning ini turut mengasah kemahiran komunikasi, kolaborasi dan inovasi dalam kalangan murid, selaras dengan matlamat pendidikan STEM dan pembelajaran abad ke-21 yang menekankan pembelajaran secara aktif dan berasaskan pengalaman.
Secara tidak langsung, sesi ini membuka minda murid bahawa Matematik bukan hanya wujud di dalam buku teks atau bilik darjah, tetapi turut hadir dalam kehidupan seharian termasuklah dalam warisan budaya, seni dan tradisi masyarakat.
Selain memberi manfaat kepada murid, program ini turut memberi pendedahan berharga kepada para guru dalam memahami aplikasi pendekatan pembelajaran berasaskan inkuiri dan integrasi STEM serta Etnomatematik.
Melalui pemerhatian dan penglibatan langsung, guru dapat melihat potensi sebenar kaedah ini dalam menjadikan PdP lebih kontekstual, menyeronokkan dan bermakna.
Pendekatan ini juga berpotensi dijadikan sebagai model pendidikan inovatif yang boleh diterapkan secara meluas di sekolah-sekolah lain, sekali gus memperkukuh usaha ke arah melahirkan generasi pelajar yang berpengetahuan, berkemahiran dan berjiwa budaya.
Setinggi-tinggi penghargaan diberikan kepada Guru Besar SK Simpang Tiga iaitu Puan Rohana Binti Ariffin, Guru Besar SK Matang Kunda iaitu Puan Fauziah Binti Anwar atas kerjasama dan layanan baik yang diberikan.
Tidak ketinggalan juga kepada Pegawai SISC+ Daerah Bagan Datuk iaitu Encik Khairul Nizam Bin Ahmad sebagai pemudah cara dalam memastikan penyelidikan ini berjalan dengan lancar.
