SERDANG, 15 Nov 2025 – Pelari pecut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nurul Wardatul Huwaida Mohd. Hamka, meneruskan dominasi dalam acara 100 meter apabila sekali lagi merangkul pingat emas pada Kejohanan Trek dan Balapan Varsiti (VTF) Grand Final 2025 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang semalam.
Atlet berusia 20 tahun kelahiran Gong Badak, Kuala Nerus itu mencatat masa 11.95 saat, menewaskan rakan sepasukan, Mis Ezatul Shafieqa Sapawi, yang menjadi pencabar terdekat.

“Alhamdulillah, syukur kerana berjaya mengekalkan emas untuk kali ketiga dalam acara 100m pada edisi VTF tahun ini,” katanya yang menjadikan kemenangan itu sebagai Tonik persiapan menjelang Sukan SEA Bangkok hujung tahun ini.
Ketua jurulatih UPSI, Dr. Thariq Khan Aizuddin Khan, menyifatkan prestasi kontinjen sebagai memuaskan selepas meraih 6 emas, 16 perak dan 8 gangsa sepanjang kejohanan.

Bagaimanapun, beliau mengakui ketiadaan pelari elit negara, Danish Iftikar, sedikit menjejaskan perancangan pasukan menghadapi Grand Final kali ini.
Danish kini berada di Medan, Indonesia, bagi menyertai 17th SEA U18 & U20 Athletics Championship 2025.
Walaupun tidak bersama pasukan di Serdang, Danish tetap menyumbang kejayaan apabila membantu kuartet 4×100 campuran Diamond UPSI meraih emas serta memecahkan rekod kejohanan dengan catatan 43.52 saat. Pasukan itu dibarisi Danish Iftikar, Hasrul Najmi, Wardatul Huwaida dan Mis’ezatul Shafieqa.

Sementara itu, kuartet 4x100m Diamond Wanita UPSI yang diketuai Wardatul Huwaida bersama Nor Anis Maisarah, Mis’ezatul Shafieqa dan Fatin Alyana, turut mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kejohanan dengan masa 47.46 saat.

