Oleh: Nur Nazatul Syazwani & Azureen

Tanjung Malim, Perak, 15 November 2025 – Program Strong 100: Bahasa Mandarin & Bahasa Korea Tahap 1 telah berjaya dilaksanakan sebagai inisiatif pembelajaran bahasa asing yang bertujuan memperkukuh kompetensi linguistik para pelajar melalui pendekatan pengajaran yang tersusun dan berimpak dan akan dilaksanakan selama 10 minggu.

Kelas Bahasa Korea dikendalikan oleh Azhar Kamis, manakala Kelas Bahasa Mandarin dibimbing oleh Nur Akmal Othman, kedua-duanya merupakan tenaga pengajar berpengalaman dalam bidang linguistik dan pengajaran bahasa asing. Seramai 35 orang pelajar daripada pelbagai fakulti telah menyertai kelas yang berlangsung di Blok 1, bermula jam 9.00 pagi hingga 11.00 pagi.

Menurut Pengarah Pusat Ulul Albab, Dr. Sakinah Salleh, penganjuran program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan UPSI untuk memperkasa pelajar dengan kemahiran abad ke-21.

“Penguasaan bahasa asing bukan hanya membuka ruang komunikasi antarabangsa, tetapi turut meluaskan horizon pemikiran pelajar. Pusat Ulul Albab sentiasa komited menyediakan platform pembelajaran yang bersifat holistik, inovatif dan relevan dengan keperluan global. Program Strong 100 ini membuktikan bahawa pelajar UPSI mempunyai minat dan potensi besar untuk meneroka dunia linguistik yang lebih luas,” katanya.

Modul Mandarin memberi tumpuan kepada pengenalan sistem pinyin, kaedah fonetik huruf Latin yang membantu pelajar menyebut perkataan Mandarin dengan tepat. Peserta juga diperkenalkan kepada vokal asas a, e, i, o, dan u serta konsonen utama sebelum mempelajari pembinaan perkataan dan ayat.

Dalam Kelas Korea pula, peserta didedahkan kepada asas Hangeul, sistem tulisan logik yang memperkukuh kemahiran membaca dan menyebut perkataan dengan tepat. Latihan memperkenalkan diri dalam Bahasa Korea turut dijalankan sebagai asas komunikasi awal.

Sepanjang program berlangsung, peserta memberikan maklum balas positif, terutamanya terhadap pendekatan pengajaran yang interaktif, suasana pembelajaran kondusif dan kemahiran penyampaian tenaga pengajar. Mereka turut berharap program seperti ini diteruskan secara berkala sebagai usaha meningkatkan nilai tambah diri serta daya saing akademik dan kerjaya.