oleh: Nur Shaira Basrah
Tanjong Malim, 14 November 2025 – tarikh yang cukup bermakna buat para pelajar, komuniti universiti, serta rakan kolaborasi di mana Program Canvas of Dreams: The Soul of Art telah berjaya dianjurkan dengan penuh meriah yang bertempat di Bilik Seminar Pusat Pelajar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program anjuran Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh (MMKAHS) dengan kerjasama Sekolah Rendah Seri Budiman (SRSB) dan National Child Development Research Centre (NCDRC) ini bukan sekadar pertandingan seni, tetapi sebuah pentas ekspresi yang menggabungkan imaginasi, emosi, dan jiwa kreatif murid.
Seiring dengan perkembangan dunia moden yang semakin pantas dan sarat dengan cabaran, program ini membawa mesej bahawa seni bukan sekadar hiasan estetik, tetapi sebuah bahasa universal yang menghubungkan manusia melalui perasaan, kefahaman, dan empati. Dengan tema “Dreams”, para peserta diberi ruang untuk menafsirkan impian, harapan, dan cita-cita mereka melalui lukisan dan warna.



Seni Terapi, Suara Generasi Muda
Pertandingan melukis dan mewarna ini memberi peluang kepada pelajar mengekspresikan diri, mengawal tekanan, dan merangsang kreativiti. Dengan semangat tinggi, peserta NCDRC dan SRSB menghasilkan karya penuh makna dalam suasana fokus dan tenang.
Kolaborasi Mendidik Insan Holistik
Program ini menyokong matlamat pembangunan lestari seperti kesihatan mental, pendidikan berkualiti, dan komuniti lestari. Kolaborasi KAHS, NCDRC, dan SRSB menunjukkan seni mampu menyatukan institusi pendidikan dan komuniti. Seramai 128 peserta termasuk VIP dan pelajar terlibat, dengan mahasiswa KAHS memimpin setiap sesi dari pendaftaran hingga fotografi, memastikan program berjalan lancar dan bermakna.
Pemenang Pertandingan NCDRC & SRSB
Setelah sesi penjurian yang teliti, pemenang bagi dua kategori diumumkan dengan karya yang penuh kreativiti dan mesej mendalam.
Kategori NCDRC:
1st: Omar Zayn Bin Muhamad Hafiz – karya simbolik tentang impian & keberanian.
2nd: Aklimathy Ilangkumaran – lukisan seimbang dengan warna menawan.
3rd: Airis Nur Zahra Binti Mohamad Nor Zakuan – kreativiti harmoni warna.
Kategori SRSB:
1st: Puteri Zya Hanania Binti Megat Azril Izwan – karya bertenaga, penuh imaginasi.
2nd: Muhammad Nadhim Bin Mohamad Fazrin – lukisan berperincian & mesej positif.
3rd: Rabihah Syahidah Binti Mohamed Nor Azhari – kelembutan visual & ekspresi matang.
Karya-karya ini mempamerkan bakat luar biasa dan inspirasi untuk semua.






Seni yang Menghubungkan Jiwa
Program Canvas of Dreams: The Soul of Art bukan sahaja berjaya mengasah bakat peserta, tetapi turut melahirkan suasana komuniti yang penuh apresiasi terhadap seni. Setiap karya yang dihasilkan menjadi cerminan suara hati generasi muda bahawa mereka mempunyai impian, harapan, dan perasaan yang ingin disampaikan kepada dunia. Dengan sambutan yang begitu memberangsangkan, program ini wajar diteruskan sebagai agenda tahunan demi merancakkan budaya seni dan melahirkan pelajar yang seimbang dari aspek intelek, emosi, dan kreatif.

Seni bukan sekadar lukisan; ia adalah bahasa jiwa, dan melalui program ini, jiwa-jiwa muda itu telah berbicara dengan begitu indah. Tahniah diucapkan kepada semua peserta dan terutamanya para pemenang. Semoga kreativiti mereka terus berkembang dan memberi inspirasi kepada ramai lagi generasi akan datang.
