Oleh: Nur Adrieana Nazurah
TANJUNG MALIM, 12 November 2025 – Program Seminar Financial Planning with ASNB yang berlangsung pada hari Rabu, bermula jam 10.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari di Bilik Seminar, Pusat Pelajar Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris, yang dianjurkan oleh Exco Ekonomi dan Keusahawanan Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh telah berjaya menarik kehadiran ramai peserta yang berminat mendalami ilmu perancangan kewangan serta strategi pelaburan berdisiplin melalui produk Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).
Program ini dianjurkan bagi membantu mahasiswa memahami pengurusan kewangan asas serta memberi pendedahan awal tentang perancangan kewangan yang mapan sebelum melangkah ke dunia pekerjaan.
Seminar tersebut menekankan kepentingan pelajar memulakan simpanan dan pelaburan pada usia muda, di samping memahami risiko, pulangan dan strategi pelaburan jangka panjang melalui produk ASNB.
Penceramah dari ASNB, En. Ramli Bin Hamzah, Penolong Pengurus Jualan Cawangan Amanah Saham Nasional Berhad Bandar Baru Teluk Intan, Perak turut berkongsi teknik merancang bajet bulanan, cara mengawal perbelanjaan, serta kepentingan membina tabung kecemasan bagi pelajar.
Menurut wakil ASNB, pelajar universiti merupakan golongan penting untuk diberikan pendedahan awal mengenai pengurusan kewangan. “Jika pelajar dapat mula mengurus kewangan sejak di universiti, mereka akan lebih bersedia menghadapi cabaran kewangan selepas bergraduasi,” katanya.
Di samping sesi seminar, satu booth khas ASNB dibuka bagi pelajar yang ingin mengaktifkan atau mendaftar akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB). Booth tersebut menerima sambutan sangat baik kerana ramai pelajar ingin memulakan pelaburan dengan modal rendah.


Lebih menarik, peserta yang baharu mendaftar akaun ASB pada hari program turut menerima insentif RM10 ke dalam eWallet Touch ‘n Go. Tawaran ini mendapat perhatian pelajar yang melihatnya sebagai permulaan yang baik untuk mula menyimpan.
Seminar yang berlangsung selama dua jam ini telah diakhiri dengan sesi soal jawab daripada mahasiswa dan mahasiswi. Program ini diharap dapat memberi manfaat berpanjangan kepada mahasiswa dan menjadi titik permulaan kepada pengurusan kewangan yang lebih sistematik.
Pihak penganjur turut menyatakan harapan agar program literasi kewangan seperti ini dapat diteruskan di UPSI pada masa akan datang bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja bijak akademik, tetapi turut celik kewangan.
