Cyberjaya, 15 November 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) telah menghantar lima pasukan terbaik bagi menyertai pertandingan berprestij Top Coders Malaysia 2025 Coding Challenge yang berlangsung di University of Cyberjaya.
Pertandingan ini merupakan platform kompetitif peringkat kebangsaan yang menghimpunkan pelajar IPT seluruh negara dalam bidang pengaturcaraan dan teknologi.
Diselia oleh Penasihat program, Prof. Madya Dr. Maizatul Hayati Mohamad Yatim selaku Dekan FKMT, delegasi UPSI diketuai oleh Chef De Mission, Ts. Dr. Nazre Abdul Rashid (Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), bersama Pengurus Pasukan Ts. Muhammad Zulhilmi Samsuri. Turut sama menyokong adalah Puan Nur Fauzun Adam (Urusan Pentadbiran) dan Puan Maryati Md. Saad (Teknikal).
Top Coders Malaysia 2025 Peringkat Kebangsaan ini telah disertai oleh 280 peserta daripada 140 pasukan mewakili 34 universiti seluruh negara, menjadikannya salah satu pertandingan pengaturcaraan terbesar peringkat IPT bagi tahun ini.
UPSI tampil sebagai antara institusi yang menghantar wakil terbanyak dengan lima pasukan bertanding.
Kelima-lima pasukan yang mewakili UPSI merupakan peserta terbaik yang telah terpilih dalam Pertandingan Top Coder Peringkat UPSI yang diadakan pada 13 November 2025.
Mereka telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam ujian teknikal dan kreativiti penyelesaian masalah lalu dipilih untuk membawa nama UPSI ke peringkat kebangsaan.
Pasukan utama yang bertanding ialah Team Omaigithub, Team CyberPower dan Team METABros. Pasukan Omaigithub diwakili oleh Mohammad Syahmi bin Rosli dan Nurul Husna binti Hanipi, kedua-duanya daripada program Kejuruteraan Perisian (Perisian Pendidikan).
Team CyberPower pula dibarisi oleh Tunku Irfan Zafriuddin Shah bin Tunku Rizal Shah dan Muhammad Nur Dzulhilmy bin Ahmad Termizi dari program Diploma Sains Komputer.
Sementara itu, Team METABros terdiri daripada Muhamad Daniel Asyraf bin Mohamad Afendi dan Raja Muhammad Hazmi bin Raja Azman yang mewakili program Diploma Sains Komputer serta Reka Bentuk dan Pembangunan Permainan.
Dua lagi pasukan simpanan turut disenaraikan iaitu Team Valta Boys (Aiman bin Mohd Hisham dan Irfan Hakim bin Ishak) serta Team Albinauric (Thaqif Dzakirin bin Razarous dan Saiful Fikri bin Shaharum). Kesemua peserta telah melalui sesi latihan intensif termasuk bengkel Python Programming Fundamentals dan pendedahan kepada format pertandingan industri.
Menurut Pengurus Pasukan, Ts. Muhammad Zulhilmi bin Samsuri, pertandingan ini memberikan impak besar kepada pembangunan sahsiah dan kemahiran mahasiswa:
“Pertandingan ini bukan hanya menguji kemahiran teknikal, tetapi juga melatih pelajar untuk bekerja di bawah tekanan masa, berfikir secara kritis dan menyampaikan solusi dengan tepat. Saya bangga dengan komitmen dan semangat yang ditunjukkan oleh semua pasukan yang mewakili UPSI.”
Salah seorang peserta daripada pasukan utama UPSI, Mohammad Syahmi bin Rosli dari Team Omaigithub turut berkongsi pengalamannya:
“Pertandingan ini sangat mencabar, tetapi kami amat bersyukur kerana dapat mewakili UPSI ke peringkat kebangsaan. Ia membuka mata kami terhadap standard industri sebenar dan memberi keyakinan untuk terus mencuba dalam bidang pengaturcaraan. Pengalaman ini amat berharga dan akan menjadi kenangan manis dalam pengajian kami.”


Pertandingan yang dianjurkan oleh Data Science Association (DSA) dengan kerjasama Thulija Technologies Sdn. Bhd. ini turut membuka ruang kolaborasi antara universiti dan industri. Ia juga menyokong hasrat UPSI melahirkan graduan bitara yang holistik, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0.
Walaupun tiada pasukan dari UPSI berjaya menempatkan diri dalam senarai lima pasukan terbaik keseluruhan, namun penyertaan ini tetap menjadi satu pengalaman yang berguna dan terbaik buat semua peserta. Ia bukan sahaja memperkukuh kemahiran teknikal, tetapi juga membentuk jati diri, kerjasama pasukan serta daya tahan yang tinggi dalam kalangan pelajar.
