Oleh: Mohd Faiz Zabri dan Nor Muhammad Hazim Mazuki

KUALA LUMPUR, 2 November 2025 – Pasukan kayak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi membuktikan keunggulan mereka dalam arena sukan air apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi kategori TK (Touring Kayak) dalam Kejohanan Varsity Canoe 2025 yang berlangsung di Tasik Universiti Malaya dari 31 Oktober hingga 2 November 2025.

Sebagai juara keseluruhan bagi kategori Touring Kayak (TK), kontinjen UPSI tampil cemerlang dengan mengutip dua pingat emas dan dua pingat perak dalam kategori tersebut.

Dominasi UPSI turut terserlah dalam kategori Kayak (K) apabila berjaya membawa pulang satu pingat emas dan dua pingat perak.

Secara keseluruhan, pasukan kayak UPSI menutup tirai Kejohanan Varsity Canoe 2025 dengan kutipan tujuh pingat, merangkumi tiga pingat emas dan empat pingat perak, sekali gus mengukuhkan status UPSI sebagai antara pencabar utama dalam arena sukan air peringkat IPT.

Pasukan Kayak UPSI menunjukkan penguasaan yang tidak mampu disangkal dalam kategori Touring Kayak apabila membawa pulang dua pingat emas, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka di carta pungutan pingat.

Sorotan tertumpu kepada acara TK1 Wanita, di mana Fatin Nuramirah Binti Kamaruzzaman meneruskan rentak kemenangan apabila menamatkan perlumbaan di tempat pertama dan menghadiahkan emas pertama buat UPSI.

Kecemerlangan itu kemudian diteruskan dalam acara TK2 Wanita, apabila Fatin Nuramirah bergandingan dengan Nurul Iffah Ilyana Zulkifli.

Pasangan ini mempamerkan keserasian mantap serta teknik kayuhan yang konsisten hasil latihan intensif di bawah program pembangunan atlet Pusat Sukan UPSI, sekaligus meraih pingat emas kedua.

Dalam kategori K (Kayak), meskipun saingan lebih sengit, kontinjen UPSI tetap mempamerkan mentaliti kompetitif yang tinggi. Acara K2 Lelaki menjadi kemuncak apabila pasangan Hassan Al-Basri dan Muhammad Naiem Shahmi Mahusin menghadiahkan pingat emas melalui kayuhan mantap dan strategi perlumbaan yang tepat.

Pencapaian ini mengukuhkan UPSI sebagai kuasa baharu dalam sukan air universiti, sekali gus membuktikan keberkesanan perancangan, sokongan dan program latihan jangka panjang yang digerakkan oleh Jurulatih dan dibantu Pusat Sukan UPSI.

Kejayaan ini menjadi penanda aras baharu buat pasukan kayak UPSI dalam mempersiapkan atlet untuk kejohanan-kejohanan mendatang, selain membuktikan potensi besar universiti ini dalam pembangunan sukan berprestasi tinggi.