Oleh: Nisa Aliza & Muhamad Aidill Adha Zulies

TANJUNG MALIM, 20 November 2025 – Persatuan Pendidikan Islam (PPI) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Bengkel Taklimat Bersama Setiausaha & Bendahari di Blok 4, Bilik Kuliah 6, bertujuan memberi pendedahan dan latihan terperinci kepada seluruh pimpinan serta Rakan Exco berkaitan pengurusan organisasi yang lebih sistematik dan profesional.

Bengkel ini menghimpunkan seramai 52 peserta, terdiri daripada barisan pimpinan dan Rakan Exco PPI, yang diwajibkan hadir untuk memastikan keseragaman ilmu, kefahaman, serta pelaksanaan tugasan dalam portfolio masing-masing. Kehadiran yang memberangsangkan mencerminkan komitmen tinggi pimpinan terhadap kelancaran pentadbiran persatuan bagi sesi 2025/2026.

Bagi portfolio Setiausaha, bengkel memberi fokus kepada tatacara pengurusan dokumen, penyediaan laporan, penulisan surat-menyurat rasmi, pengurusan fail, serta penyelarasan dokumen yang menjadi keperluan utama operasi persatuan. Latihan ini memastikan setiap pimpinan memahami standard pengurusan dokumen yang betul dan seragam.

Sementara itu, bagi portfolio Bendahari, bengkel menekankan tatacara tadbir urus kewangan persatuan termasuk pengurusan dapatan kewangan, prosedur perbelanjaan, tuntutan (claim), serta dokumentasi kewangan mengikut piawaian ditetapkan. Penerangan ini penting bagi memastikan setiap transaksi kewangan PPI dijalankan secara telus, tersusun, dan direkodkan dengan teratur.

Sepanjang bengkel, peserta turut diberi peluang menjalani latihan praktikal, bertanya soalan, dan berkongsi pengalaman untuk meningkatkan kefahaman serta mengukuhkan kompetensi dalam tugasan yang bakal digalas sepanjang sesi kepimpinan baharu.

Secara keseluruhan, bengkel ini berjaya mencapai objektifnya, iaitu memberi pendedahan komprehensif mengenai pengurusan organisasi dan kewangan berkesan. Diharapkan penganjuran bengkel dapat meningkatkan profesionalisme, memantapkan pengurusan dalaman PPI, serta menyumbang kepada kelancaran gerak kerja persatuan sepanjang sesi 2025/2026.