Oleh: Nur Adriana Uzma Zaidi

SLIM RIVER, 20 November 2025 – Seramai 28 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Program Ekspo Halalan Tayyiban yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Slim River (SMKASR), Perak. Program ini merupakan sebahagian daripada kursus Fiqh Al-Atimah Wa Al-Aiman Wa Al-Nuzur (HIN 3013) bagi pelajar semester lima sesi 2025/2026 dan bertujuan mengaplikasikan ilmu halal dan haram dalam pemakanan melalui pendekatan lapangan secara langsung.

Program ini juga sebahagian daripada inisiatif SULAM (Service Learning Malaysia University for Society) yang menggabungkan pembelajaran akademik dengan khidmat komuniti, selaras dengan misi UPSI membentuk pendidik berjiwa insani dan penyayang.

Antara aktiviti utama adalah penyediaan booth serta explorace bersama pelajar SMKASR. Tiga booth disediakan untuk memberikan penerangan mengenai logo halal, bahan ramuan syubhah, prinsip asas hukum, al-jallalah dan isu kontemporari fiqh makanan. Pelajar juga berpeluang melihat pameran, poster serta contoh produk yang menerapkan konsep halal tayyiban, membolehkan mereka memahami aplikasi konsep tersebut dalam kehidupan harian secara lebih jelas.

Aktiviti explorace dijalankan dalam bentuk permainan berkumpulan di lima checkpoint bertemakan haiwan darat, sembelihan, haiwan laut dan pemburuan. Setiap checkpoint direka untuk menguji pengetahuan, kemahiran dan kreativiti pelajar. Pergerakan berkumpulan ini mewujudkan suasana pembelajaran yang aktif dan menyeronokkan, sambil membina kemahiran kerjasama, komunikasi dan kepimpinan.

Menurut penganjur, program ini bukan sahaja mengukuhkan kefahaman pelajar terhadap hukum fiqh makanan, malah memberi peluang kepada pelajar yang biasanya pasif untuk lebih berani tampil memimpin kumpulan dan menjawab soalan rakan.

Secara keseluruhan, Program Ekspo Halalan Tayyiban berjaya menarik minat pelajar memahami konsep halal dan haram dengan pendekatan santai dan menyeronokkan. Penganjuran program seumpama ini diharap dapat diteruskan untuk melahirkan generasi Muslim yang peka, berilmu, dan bertanggungjawab dalam membuat pilihan makanan yang menepati syariat Islam.