Oleh: Nur Hasya Abdul Rahim

TANJUNG MALIM, 15 November 2025 – Seramai 66 mahasiswa dan mahasiswi semester satu Persatuan Pendidikan Islam (PPI) sesi 2025/2026, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menyertai program ‘Uqdatul Hubb & Chit Chat Akademik’ yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat 5, UPSI.

Program anjuran Lajnah Modal Insan dan Lajnah Akademik PPI ini bertujuan memperkukuh ukhuwah serta meningkatkan kefahaman akademik dalam kalangan pelajar baharu.

Program dimulakan dengan slot Chit Chat Akademik bersama Penasihat PPI, Dr. Wan Maslukma Wan Zaharuddin, yang memberikan penjelasan terperinci mengenai struktur major dan minor Pendidikan Islam. Sesi tersebut membantu pelajar memahami hala tuju pengajian mereka serta merancang perjalanan akademik dengan lebih tersusun sepanjang tempoh pengajian di UPSI.

Taklimat berkaitan sistem pembelajaran UPSI, iaitu MyGuru dan UniSis, turut disampaikan oleh Lajnah Akademik PPI. Penerangan berkenaan bertujuan membimbing mahasiswa memahami penggunaan platform digital bagi pengurusan tugasan, pembelajaran dan urusan akademik harian. Langkah ini sekali gus memberi pendedahan awal dan keyakinan kepada pelajar untuk menyesuaikan diri dengan sistem universiti.

Program diteruskan dengan sesi kedua oleh Lajnah Modal Insan PPI yang memberi penerangan mengenai Usrah ITHIC serta pembahagian kumpulan usrah khusus bagi mahasiswa semester satu. Usrah tersebut diwujudkan sebagai medium perkongsian ilmu, mengukuhkan ukhuwah, serta meningkatkan kemahiran komunikasi dan pemikiran kritis dalam kalangan peserta.

Pelaksanaan usrah juga diharap dapat memupuk nilai kepimpinan, membina keyakinan diri dan menyediakan ruang sokongan yang selamat untuk mahasiswa saling membantu antara satu sama lain dalam perjalanan pengajian mereka.

Secara keseluruhan, program ‘Uqdatul Hubb & Chit Chat Akademik’ berjaya memberikan asas kukuh kepada mahasiswa baharu dalam mengenali haluan akademik, selain mencetuskan suasana positif dan penuh motivasi untuk mereka melangkah ke semester pertama dengan keyakinan yang lebih tinggi.