Oleh: Nur Alyana Maisara Norsharul Nizam

Tanjong Malim, 23 November 2025 – Majlis Anugerah Keterampilan Pelajar (AKP) Fakulti Sains dan Matematik (FSM) telah berjaya dianjurkan pada malam ini sebagai satu platform rasmi untuk meraikan pelajar yang menonjol dalam kepimpinan, ketokohan dan sahsiah. AKP FSM menilai pencapaian menyeluruh pelajar dalam kepimpinan, kesukanan, kesenian dan kebudayaan, kesukarelawanan, aktiviti STEM, keusahawanan, kerohanian dan pengucapan awam.

Anugerah ini merupakan simbol penghargaan kepada pelajar FSM yang telah menunjukkan penglibatan holistik selaras dengan hasrat UPSI untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga berdaya saing, beretika, berpersonaliti seimbang serta bersedia menjadi pemimpin masa hadapan. Melalui data pencalonan dan penilaian, seramai 31 calon dipertandingkan untuk 18 kategori yang dipecahkan kepada 4 anugerah utama iaitu Anugerah Ikon FSM, Anugerah Kepimpinan FSM, Anugerah Utama Kumpulan dan Anugerah Utama Individu.

Kesemua pencalonan memenuhi kriteria keterampilan pelajar berdasarkan prestasi kepimpinan, rekod penglibatan kelab dan persatuan, pencapaian kokurikulum serta sumbangan terhadap komuniti kampus dan luar kampus.

Daripada 18 kategori yang dipertandingkan, ketegori utama iaitu Anugerah Badan Pelajar dan Anugerah Tokoh Siswa FSM 2025 yang sentiasa menjadi tumpuan semua pelajar. Kategori Anugerah Badan Pelajar telah disandang oleh Kelab Rakan Alam Sekitar (RAS) manakala Anugerah Tokoh Siswa FSM 2025 telah menjadi milik saudara Amir Farhan Md Razi. Kedua-dua anugerah utama ini telah disampaikan oleh Profesor Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah, Dekan FSM.

Majlis Anugerah Keterampilan Pelajar FSM telah berjaya meningkatkan motivasi pelajar untuk terus bergiat aktif dalam aktiviti universiti dan komuniti. Majlis ini bukan sahaja memberi penghargaan kepada penerima, tetapi turut memberi inspirasi kepada pelajar lain untuk membina keyakinan diri, mengasah bakat serta mengembangkan kemahiran insaniah demi masa depan kerjaya yang lebih cemerlang.

Dengan kejayaan penganjuran majlis ini, diharapkan budaya keterampilan holistik seiring kecemerlangan akademik dapat terus diperkasa dalam kalangan mahasiswa FSM agar lepasan-lepasan fakulti menjadi generasi graduan yang berintegriti, profesional dan kompetitif seiring keperluan industri global.