TANJONG MALIM, 26 Nov 2025 – Komuniti @UniMADANI UPSI terus mengukuhkan peranan universiti dalam pembangunan TVET dan keusahawanan apabila jalinan kerjasama antara FTVInc (Projek Ikan Sangkar), Jabatan Sains Pertanian, Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membolehkan jualan ikan sangkar UPSI dijalankan di Pasar Tani Tanjong Malim.
Program jualan hasil pertanian dan penternakan ini pada asalnya digerakkan melalui aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bagi kursus Pengeluaran Tanaman Hortikultur oleh pensyarah, Ts. Dr. Siti Fairuz Yusoff dan kursus Akuakultur oleh Ts. Dr. Zalina Ismail, di Jabatan Sains Pertanian yang telah dilaksanakan di Pasar Tani Proton City pada 22 November 2025. Berikutan sambutan menggalakkan dan peningkatan permintaan, Projek Jualan Ikan Sangkar UPSI yang diketuai Ts. Dr. Zalina Ismail bersama tiga orang ahli diteruskan lagi bagi memenuhi keperluan pasaran setempat.


Sebelum ini, penjualan ikan sangkar UPSI dilaksanakan melalui tempahan berasaskan hebahan iklan. Namun, kerjasama dengan FAMA yang menyediakan tapak jualan secara percuma berjaya memperluas skop pemasaran ke komuniti sekitar Tanjong Malim.
Objektif Projek Jualan Ikan Sangkar UPSI bersama FAMA di Pasar Tani adalah untuk memperkenalkan ikan sangkar UPSI serta memastikan kelangsungan projek ternakan tersebut yang menerima sokongan kewangan daripada Kementerian Kewangan di bawah Program Pendayaan Komuniti Universiti Awam. Selain itu, projek ini menyokong agenda universiti dalam memperkasa Kemahiran TVET dan keusahawanan dalam kalangan pelajar.
Penglibatan tiga pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian (Pengembangan Pertanian) dengan Pendidikan Semester 3 dalam aktiviti jualan secara langsung bukan sahaja memberi pengalaman industri sebenar, malah membantu mereka menjana pendapatan tambahan.
Tiga pelajar terlibat, Ahmad Azam Abdul Somad, Muhammad Zarif Aiman Noor Zabrin dan Nur Ain Syafiqah Abdul Samad menyifatkan projek tersebut sebagai platform penting dalam membina jaringan komuniti, agensi dan universiti di Muallim.

“Projek Jualan Ikan Sangkar UPSI di Pasar Tani dengan kerjasama FAMA ini memberikan ilmu yang sangat berharga. Melalui pengalaman jualan, kami dapat mengasah kemahiran komunikasi, meningkatkan pengetahuan dalam penternakan ikan sangkar dan akuakultur (TVET), serta memperkukuh kemahiran keusahawanan dan penjanaan pendapatan,” kata mereka.
Menurut Ts. Dr. Zalina Ismail, Projek Jualan Ikan Sangkar UPSI di Pasar Tani dengan kerjasama FAMA ini seiring dengan hasrat kerajaan merealisasikan nilai teras Malaysia MADANI, khususnya Teras 1: Kemampanan, melalui usaha memajukan kehidupan pelajar menerusi projek ternakan ikan.
Beliau turut menegaskan bahawa projek ini menyumbang kepada pencapaian beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti Kelaparan Sifar, Tiada Kemiskinan, Kualiti Pendidikan, Kehidupan di Bawah Air, Pengeluaran dan Penggunaan Bertanggungjawab serta Pekerjaan Yang Sesuai dan Pertumbuhan Ekonomi.
