Oleh: Jamilah Mohd Basir
Tanjong Malim, 20 Disember 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) telah menganjurkan Majlis Penyampaian Sijil Kecemerlangan Kanak-Kanak TADIKA Bitara NCDRC 2025 bertempat di Panggung Budaya, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.
Majlis ini bertujuan menghargai pencapaian holistik kanak-kanak TADIKA Bitara NCDRC selaras dengan aspirasi pendidikan awal kanak-kanak negara.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku dan Lagu Negeri Perak, lafaz Ikrar Rukun Negara serta bacaan ayat suci al-Quran dan doa yang dialunkan oleh kanak-kanak TADIKA Bitara, NCDRC.



Turut mencuri tumpuan adalah ucapan alu-aluan oleh kanak-kanak TADIKA Bitara NCDRC serta persembahan istimewa melibatkan kanak-kanak berumur lima dan enam tahun yang menampilkan bakat, keyakinan diri serta nilai budaya sejajar dengan tema majlis, “Tradisional & Kebudayaan.”
Majlis ini dihadiri Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof. Dr. Suriani Abu Bakar; Pengarah NCDRC, Prof Madya Dr. Mazlina Che Mustafa serta barisan pengurusan NCDRC serta wakil Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Majlis disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Sekolah Prasekolah dan Sekolah Rendah, JPN Perak, mewakili Pengarah JPN Perak, Norizah Mohamed Ramli.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan terhadap usaha UPSI dan NCDRC dalam memperkasa pendidikan awal kanak-kanak berteraskan nilai, budaya dan kesejahteraan perkembangan menyeluruh.


Kemuncak majlis menyaksikan penyampaian Sijil Kecemerlangan Kanak-Kanak Enam Tahun serta Anugerah Penglibatan Ibu Bapa, sebagai pengiktirafan terhadap peranan aktif keluarga dalam menyokong perkembangan anak-anak sekali gus mencerminkan komitmen berterusan UPSI dan NCDRC dalam melahirkan generasi kanak-kanak yang seimbang dan berdaya saing dengan suasana yang sihat.

