Oleh: Nadia Shahira Amiruddin dan Rabiatul Adawiyah Binti Marhadi
TANJONG MALIM, 10 Disember 2025 — Program Industry Educator Experience Model – Early Childhood Education (IEEM-ECE) merupakan satu pendekatan pembelajaran yang mengintegrasikan teori dengan pengalaman industri secara langsung, sebagaimana digariskan oleh Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (JPAKK), Fakulti Pembangunan Manusia (FPM). Model ini membuka peluang kepada pelajar untuk merasai suasana kerja sebenar, berinteraksi dengan pengamal industri serta mengamalkan nilai profesionalisme dan etika kerja dalam konteks pendidikan awal kanak-kanak.
Pada tahun ini, pelajar kursus Hubungan Keluarga, Komuniti dan Budaya dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak (KAQ3073) telah diberikan tugasan untuk bekerjasama dengan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak (NCDRC) dalam menjayakan Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat UPSI 2025. Menerusi program ini, pelajar bukan sahaja memikul tanggungjawab mengurus pelbagai aktiviti dan pertandingan, malah terlibat secara langsung dalam operasi gerai jualan yang meriah. Pelaksanaan ini selaras dengan objektif IEEM-ECE untuk menggabungkan pembelajaran teori dengan pengalaman praktikal di industri.


Penglibatan pelajar merangkumi dua komponen utama, iaitu pengurusan gerai jualan dan pengendalian aktiviti pertandingan. Hal ini seiring dengan pelaksanaan kerja lapangan selama tujuh minggu di NCDRC. Pelajar mengurus pelbagai gerai makanan dan minuman seperti sticky milk, buah potong, popcorn, aiskrim Malaysia, aiskrim potong, crab rangoon, air teh hijau, mini burger, nasi lemak dan pelbagai jualan lain. Melalui aktiviti ini, pelajar-pelajar mempelajari kemahiran pengurusan, pembahagian tugas, promosi, komunikasi pelanggan serta kawalan operasi harian. Ia turut memberi pendedahan kepada asas keusahawanan dan pengurusan kewangan skala kecil.
Selain itu, pelajar memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran beberapa pertandingan yang dianjurkan oleh NCDRC. Antaranya Pertandingan Muazzin, yang menekankan aspek pengurusan peserta, penyediaan ruang dan pemantauan perjalanan pertandingan berfokuskan perkembangan kerohanian dan moral kanak-kanak. Seterusnya, Pertandingan Bakat Ceria, di mana pelajar mengurus koordinasi persembahan, susun atur pentas serta interaksi bersama peserta. Aktiviti ini meningkatkan kefahaman mereka tentang emosi, kreativiti dan perkembangan sosial kanak-kanak. Pelajar turut terlibat dalam Pertandingan Irama, yang mengetengahkan muzik, pergerakan dan kemahiran psikomotor. Hal ini sekali gus memberi peluang kepada pelajar melihat aplikasi pengetahuan kursus Psikomotor dan Pergerakan Kanak-Kanak dalam konteks sebenar.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan program IEEM-ECE bersama NCDRC sempena Hari Kanak-Kanak UPSI 2025 telah memberikan pengalaman pembelajaran yang sangat bermakna kepada pelajar KAQ3073. Penglibatan dalam pengurusan gerai dan pertandingan telah memupuk kemahiran praktikal, profesionalisme dan keyakinan yang amat diperlukan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Pada masa yang sama, pihak fakulti dan NCDRC turut memperoleh manfaat melalui pengukuhan jaringan serta penambahbaikan kolaborasi akademik–industri. Program ini membuktikan bahawa gabungan teori dan pengalaman industri mampu melahirkan bakal pendidik yang lebih kompeten, beretika dan bersedia menghadapi cabaran profesion.

