Oleh: Siti Nurhafizah Mohd Roseki

Tanjong Malim, 21 Disember 2025 – Majlis Perasmian Penutupan FPM Fit Week telah diadakan sebagai simbol penutup rasmi kepada penganjuran program yang menekankan kepentingan gaya hidup sihat dalam kalangan warga Fakulti Pembangunan Manusia (FPM). Penganjuran FPM Fit Week turut mencerminkan komitmen berterusan pihak fakulti dalam melahirkan komuniti kampus yang sihat, aktif dan seimbang, sejajar dengan aspirasi pembangunan insan holistik.

Majlis Perasmian Penutupan FPM Fit Week telah dimulakan dengan ucapan oleh Profesor Madya Dr. Abdul Halim Masnan, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni). Dalam ucapannya,beliau menekankan kepentingan penganjuran program seumpama ini dalam menyokong kesejahteraan pelajar serta memperkukuh pembangunan sahsiah secara holistik. Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur dan semua peserta atas komitmen serta kerjasama yang telah diberikan sepanjang menjayakan program tersebut.

Sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang FPM Fit Week telah berlangsung dengan jayanya sebagai simbol penghargaan dan pengiktirafan terhadap komitmen, disiplin serta usaha berterusan yang ditunjukkan oleh para peserta sepanjang pelaksanaan program.Penyampaian hadiah ini bukan sahaja bertujuan untuk meraikan kejayaan para pemenang, malah diharapkan dapat menjadi pemangkin semangat kepada semua peserta untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.

Majlis diteruskan dengan sesi penggambaran rasmi bersama para peserta, pihak penganjur, dan tetamu kehormat, bagi merakamkan detik-detik penting sepanjang penganjuran FPM Fit Week.Diharapkan dengan penglibatan aktif semua pihak, program seperti ini dapat diteruskan dan diperkasakan pada masa akan datang, sekali gus menyemai budaya gaya hidup sihat serta meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental dalam kalangan warga fakulti.