Tanjong Malim, 31 Disember – Muallim Half Marathon (MHM) 2025 mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya dianjurkan buat julung kalinya dengan penyertaan seramai 1,800 peserta dari dalam dan luar negara. Acara berprestij ini turut menarik minat pelari antarabangsa dari Bangladesh, Brunei, Indonesia, Kenya, Maldives, Nepal, Filipina, Singapura, Thailand dan Jepun, sekali gus mengangkat nama Daerah Muallim & UPSI ke persada sukan larian antarabangsa.

Edisi sulung MHM 2025 mempertandingkan tiga kategori utama, iaitu 21 kilometer, 10 kilometer dan 5 kilometer, yang telah berlangsung pada 28 Disember 2025 bertempat di Gerbang Suria, Arena, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Laluan yang disediakan bukan sahaja mencabar, malah menawarkan suasana kampus yang kondusif serta laluan jalanraya serta selamat kepada semua peserta.

Pelepasan peserta telah disempurnakan oleh Puan Salwati Mohd Aris, Penasihat Undang-Undang dan Encik Hanafi Junit, Ketua Audit Dalam, yang menandakan bermulanya acara penuh semangat dan keterujaan.

Menurut Mohd Shahrul, selaku Race Director / Route Manager Muallim Half Marathon 2025, penganjuran sulung ini merupakan hasil perancangan rapi serta kerjasama erat pelbagai pihak.

“MHM 2025 bukan sekadar sebuah acara larian, tetapi platform untuk menyatukan komuniti pelari tempatan dan antarabangsa dalam suasana yang selamat, tersusun serta berstandard tinggi. Penekanan khusus diberikan terhadap perancangan laluan, aspek keselamatan dan pengalaman peserta agar penganjuran pertama ini meninggalkan impak positif,” katanya.

Sementara itu, Encik Firdaus Mohd Sahir , selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Absolute Wellness, menyifatkan penganjuran Muallim Half Marathon 2025 sebagai satu inisiatif penting dalam mempromosikan gaya hidup sihat dan kesejahteraan komuniti.

“Sebagai rakan penganjur, Absolute Wellness melihat MHM 2025 sebagai platform strategik untuk menggalakkan amalan hidup aktif di samping mengukuhkan hubungan antara komuniti sukan, institusi dan masyarakat setempat. Sambutan luar biasa pada edisi pertama ini membuktikan potensi besar acara ini untuk berkembang pada masa akan datang,” jelasnya.

Beliau turut berharap agar Muallim Half Marathon dapat diteruskan sebagai acara tahunan yang bukan sahaja berteraskan sukan, malah memberi impak positif kepada kesihatan, ekonomi setempat dan pelancongan sukan.

Penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), IIPD Muallim, Bahagian Keselamatan UPSI, Pusat Sukan UPSI, serta rakan penaja iaitu FAMA, N8, 100Plus dan Fuji Bakery atas sokongan padu dalam memastikan kelancaran serta kemeriahan acara.

Muallim Half Marathon 2025 dianjurkan secara kolaboratif oleh Absolute Wellness, Bahagian Audit Dalam (BhAD) dan Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) dengan objektif menghimpunkan penggiat sukan larian jarak jauh dan sederhana dari dalam serta luar negara, di samping memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.