Oleh: Nur Aqilah Mohd Aidill

Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta Perak , 1 Januari 2026 – Program Jejak Kasih: Heart to
Heart Golden Connections telah berjaya dilaksanakan bersempena sambutan Tahun Baharu,
sebagai simbol permulaan yang manis dan penuh makna buat warga emas. Program ini
menekankan kesejahteraan fizikal, emosi dan hubungan sosial dalam suasana yang mesra,
santai serta tidak memaksa.



Antara pengisian utama program ialah slot senamrobik, Taman Mini, Pokok Harapan dan
Skala Emosi yang memberi ruang kepada warga emas untuk bergerak, berkarya serta
meluahkan perasaan mengikut keselesaan masing-masing. Setiap aktiviti dilaksanakan
dengan penuh empati dan penghormatan bagi memastikan penyertaan yang selesa dan
bermakna.

Program ini turut diserikan dengan sumbangan durian oleh Dr. Soffiyah, yang menjadi
elemen “manis” dalam menyemarakkan suasana sambutan Tahun Baharu serta menceriakan
warga emas. Sumbangan ini bukan sahaja memberi kegembiraan, malah melambangkan
keprihatinan dan kasih sayang yang dikongsi bersama.


Secara keseluruhannya, Program Jejak Kasih: Heart to Heart Golden Connections Gayathri
Ganesan telah berjaya dilaksanakan dengan penuh makna bersempena sambutan Tahun
Baharu, 1 Januari. Pengarah Program merakamkan penghargaan kepada Dr. Sofiyyah, Dr.
Md Noor, Dr. Ayuni serta UCTC UPSI atas sokongan dan sumbangan yang diberikan
sepanjang program berlangsung. Beliau turut menghargai komitmen barisan pengurusan,
AJK dan peserta, serta berharap semangat kasih, empati dan keprihatinan dapat diteruskan
bersempena permulaan tahun baharu, 1 Januari.

Sementara itu, wakil daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Encik Muhammad
Adzim Abdul Wahab turut menyatakan penghargaan atas usaha dan komitmen semua pihak
yang terlibat. Beliau berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan
datang kerana ia bukan sahaja menyokong kesejahteraan emosi warga emas, malah
mengukuhkan hubungan silaturahim antara komuniti dan agensi kebajikan.