Gambar bersama peserta daripada Ahli Jawatankuasa Media Program GAME ON : Jadi Pengguna BijakGambar bersama peserta daripada Ahli Jawatankuasa Media Program GAME ON : Jadi Pengguna Bijak

oleh: NURQAISARA AFRINA MAHADZIR & DR AHMAD SAUFFIYAN ABU HASAN

Program GAME ON : Jadi Pengguna Bijak yang telah diadakan pada 6 Disember 2025 oleh pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Komunikasi Sosial) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Serbaguna Kampung Menderang, Sungkai, Perak.

Program ini bertujuan meningkatkan tahap literasi digital dalam kalangan masyarakat setempat selaras dengan perkembangan pesat teknologi masa kini.

Selain memperkukuh kesedaran digital di kawasan luar bandar, program ini memberi fokus kepada pendidikan berkaitan keselamatan siber, etika penggunaan media digital, serta keupayaan pengguna menilai maklumat secara kritis.

“Pelaksanaan Program GAME ON : Jadi Pengguna Bijak ini merupakan usaha kami sebagai pelajar komunikasi untuk mendidik masyarakat mengenai tanggungjawab dan keselamatan dalam dunia digital.

“Pada masa yang sama, melalui program GAME ON : Jadi Pengguna Bijak, kami berhasrat mengurangkan kebergantungan kepada gajet dan menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti fizikal yang sihat dan bermanfaat,” kata Pengarah Program GAME ON : Jadi Pengguna Bijak, Bennie Wesley dalam satu kenyataan hari tersebut.

Program GAME ON adalah pertandingan game station yang diwujudkan bagi mengurangkan ketagihan gajet serta memupuk semangat berpasukan dalam kalangan komuniti Sungkai, Perak. Inisiatif ini mendapat sambutan positif penduduk tempatan, membuktikan bahawa aktiviti masyarakat seperti ini mampu menjadi medium efektif membendung penggunaan gajet secara berlebihan.

Sementara itu, Ketua Kampung, Kampung Menderang, Mohd Suhaili Abu Kassim berkata, melalui program GAME ON ini, penduduk mendapat ilmu baru terutamanya mengenai trend terkini jenayah digital dan bagaimana cara untuk membendungnya.