Oleh : Nur Dini Adha Abd Shukor
TANJONG MALIM, 26 November 2025 – Satu inisiatif hijau hasil kolaborasi antara pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda (ISM) Komunikasi Sosial dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) UPSI telah berjaya mengurangkan penggunaan plastik sekali guna melalui kempen penggunaan bekas makanan dalam kalangan pelajar.
Program yang dikenali sebagai TAPAU dengan kerjsama JHEPA, ini telah berlangsung di Masjid Al-Mursyiddin, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan menerima sambutan yang amat menggalakkan apabila seramai kira-kira 800 orang pelajar hadir dengan membawa bekas makanan masing-masing.
Inisiatif ini bertujuan memupuk kesedaran terhadap kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar serta mengurangkan pencemaran plastik di kampus, khususnya dalam kalangan warga pelajar. Melalui kempen ini, pelajar digalakkan untuk mengamalkan gaya hidup mesra alam dengan menggunakan bekas makanan sendiri bagi menggantikan penggunaan plastik pakai buang.
Menariknya, program ini turut melibatkan kerjasama strategik bersama pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Kaunseling yang membantu dalam penyediaan dan pengagihan makanan kepada para pelajar. Makanan yang diagihkan ialah ayam gepuk yang disediakan khas sebagai tarikan utama bagi menggalakkan penyertaan pelajar dalam program tersebut.
Menurut penganjur, pendekatan kolaboratif antara pelajar pelbagai fakulti ini bukan sahaja berjaya meningkatkan penyertaan, malah turut memperkukuhkan semangat kerjasama serta kesedaran alam sekitar dalam kalangan komuniti kampus.
Inisiatif TAPAU x JHEPA ini merupakan salah satu mini kempen yang dijalankan di bawah payung Eco Campus 360° di Kampus Baharu Sultan Abdul Jalil Shah (KSAS). Program ini selari dengan matlamat universiti untuk melestarikan alam sekitar serta membentuk budaya kampus yang lebih lestari dan bertanggungjawab.
Penganjuran program seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha berterusan ke arah menjadikan UPSI sebuah kampus hijau yang mampan.
