Oleh : Siti Aisyah binti Ahmad Tajuddin & Dr. Ahmad Sauffiyan bin Abu Hasan

Burnout bukan lagi istilah asing dalam kalangan pelajar masa kini. Hampir semua pelajar pernah mengalami keletihan fizikal dan mental yang berpanjangan akibat tekanan akademik yang tidak diurus dengan baik. Beban tugasan, tuntutan pencapaian akademik serta jangkaan tinggi terhadap diri sendiri sering menjadi punca utama berlakunya burnout.

Keadaan ini lebih ketara dalam kalangan pelajar yang masih menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu di universiti. Peralihan daripada suasana sekolah ke dunia universiti yang lebih mencabar menyebabkan sebahagian pelajar berasa keliru dan tertekan. Kekurangan pengalaman mengurus kebebasan, masa dan tanggungjawab akademik menjadikan mereka lebih mudah mengalami tekanan emosi.

Seseorang pelajar boleh dikatakan mengalami burnout apabila gangguan emosi mula menjejaskan kehidupan seharian. Antara tanda-tandanya ialah mudah marah walaupun terhadap perkara kecil, sering berasa gelisah serta sentiasa dibelenggu kebimbangan terhadap tugasan yang belum disiapkan. Jika berlarutan, keadaan ini boleh menyebabkan pelajar kehilangan motivasi dan semangat untuk terus belajar.

Akibatnya, pelajar mula merasakan usaha mereka sia-sia dan tidak lagi bermakna. Keletihan mental dan fizikal yang dialami menyebabkan fokus terhadap pembelajaran semakin menurun, sekali gus memberi kesan negatif terhadap prestasi akademik dan kesejahteraan diri.

Justeru, bagaimanakah pelajar dapat mengelakkan diri daripada burnout yang serius dan mencapai keseimbangan hidup semasa belajar? Langkah pertama ialah mengenal pasti punca tekanan yang dihadapi, sama ada berpunca daripada kaedah pembelajaran yang kurang berkesan, masalah pengurusan masa atau faktor peribadi seperti hubungan keluarga.

Setelah punca tekanan dikenal pasti, pelajar boleh merancang strategi untuk menanganinya. Sebagai contoh, jika tekanan berpunca daripada kaedah pembelajaran, pelajar boleh mencari teknik pembelajaran yang lebih efektif dan mempraktikkannya secara konsisten. Walaupun memerlukan masa, usaha ini mampu membantu pelajar memahami pelajaran dengan lebih baik dan mengurangkan tekanan dalam jangka panjang.

Selain itu, amalan teknik relaksasi juga penting bagi menenangkan minda dan tubuh badan. Aktiviti seperti meditasi, yoga dan teknik pernafasan boleh membantu mengurangkan tekanan serta meningkatkan ketenangan emosi. Teknik pernafasan khususnya boleh diamalkan pada bila-bila masa apabila pelajar berasa cemas atau tertekan.

Pengurusan masa yang baik turut memainkan peranan penting dalam mencegah burnout. Dengan menyusun jadual harian secara sistematik dan mengutamakan tugasan yang penting, pelajar dapat mengelakkan tekanan akibat kerja yang bertindan. Keadaan ini membolehkan pelajar belajar dengan lebih fokus dan teratur.

Kesimpulannya, tekanan merupakan sebahagian daripada kehidupan akademik yang tidak dapat dielakkan. Namun, dengan pengurusan tekanan yang baik, pelajar mampu mencapai keseimbangan antara akademik dan kehidupan peribadi. Nikmatilah kehidupan di universiti kerana di sinilah ruang terbaik untuk belajar, berkembang dan membina jati diri.