Oleh : Megat Aidid Irfan Megat Aminuddin (0134462056) dan Dr Ahmad Sauffiyan Hasan
Perubahan corak cuaca yang semakin tidak menentu kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia apabila kejadian hujan lebat dan ribut berlaku di luar jangkaan musim monsun. Fenomena ini bukan sahaja mengganggu rutin harian masyarakat, malah meningkatkan risiko bencana seperti banjir kilat, tanah runtuh dan kerosakan infrastruktur awam. Keadaan tersebut dipercayai berkait rapat dengan kesan perubahan iklim global yang mempengaruhi kestabilan sistem cuaca di rantau ini.
Hujan lebat dilaporkan berlaku secara mendadak walaupun di luar tempoh monsun utama dalam beberapa tahun kebelakangan situasi ini menyukarkan perancangan harian, khususnya dalam sektor pertanian, pendidikan dan pengangkutan. Petani terpaksa berdepan risiko tanaman rosak, manakala pengguna jalan raya pula terdedah kepada bahaya jalan licin dan banjir kilat yang berlaku dalam tempoh singkat. Selain itu, aktiviti ekonomi setempat turut terjejas apabila premis perniagaan terpaksa ditutup sementara demi keselamatan.
Menyedari ancaman yang semakin meningkat ini, kerajaan melalui agensi berkaitan terus memperkukuh tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi sebarang kemungkinan. Pemantauan cuaca secara berterusan dilaksanakan bagi memastikan maklumat ramalan dapat disalurkan kepada orang ramai dengan lebih cepat dan tepat. Sistem amaran awal turut dimanfaatkan untuk memberi peringatan awal kepada penduduk di kawasan berisiko tinggi khususnya di kawasan rendah dan berhampiran sungai.
Selain itu, persediaan pusat pemindahan sementara dan kelengkapan bantuan kecemasan sentiasa dipastikan berada dalam keadaan siap sedia. Pasukan penyelamat dan sukarelawan turut diberikan latihan berkala bagi meningkatkan kecekapan dalam operasi menyelamat serta pengurusan mangsa bencana. Kerjasama antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan menjadi elemen penting dalam memastikan bantuan dapat disampaikan dengan pantas dan berkesan.
Di peringkat komuniti pula, usaha pencegahan turut giat dijalankan seperti pembersihan sistem perparitan, sungai dan kawasan berisiko bagi mengurangkan kemungkinan berlakunya banjir kilat. Pendekatan ini bukan sahaja memerlukan tindakan pihak berkuasa, malah menuntut kesedaran dan kerjasama orang awam dalam menjaga kebersihan persekitaran. Orang ramai disaran agar sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca serta mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Persediaan awal di peringkat keluarga seperti menyimpan bekalan kecemasan dan merancang laluan selamat juga amat penting bagi mengurangkan risiko ketika bencana berlaku.
Kesimpulannya, ketidaktentuan musim hujan merupakan cabaran yang memerlukan tindakan bersepadu daripada semua pihak. Kesiapsiagaan yang berterusan, perancangan rapi serta kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat mampu membantu negara menghadapi cabaran cuaca ekstrem dengan lebih berkesan, sekali gus melindungi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
