Oleh: Putera Muhammad Ad-Deen dan Dr Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan

TANJONG MALIM – Sebut sahaja Tanjong Malim, ramai yang terbayang akan kedinginan bayu dari Banjaran Titiwangsa. Namun, sejak kebelakangan ini, terdapat satu lagi fenomena yang sering menghiasi garis masa (timeline) media sosial seperti Instagram dan TikTok iaitu keindahan luar biasa langit di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Pemandangan sebelum dan semasa waktu Golden Hour (waktu emas sebelum matahari terbenam) di Bumi Muallim kini menjadi antara penyumbang engagement atau interaksi tertinggi bagi hantaran berkaitan universiti ini.

Kanvas Alam Yang Memukau

Bumi Muallim mempunyai keunikan geografi yang tersendiri. Kedudukannya yang berdekatan dengan banjaran gunung menghasilkan formasi awan yang dramatik dan warna langit yang bertukar daripada biru firus kepada jingga kemerahan (vibrant orange) setiap kali menjelang petang.

Pemandangan ini bukan sahaja memikat hati warga kampus, malah tular sehingga menarik perhatian masyarakat luar yang sebelum ini mungkin hanya mengenali Tanjong Malim sebagai bandar pendidikan.

“Setiap petang, kawasan sekitar Tasik Adventure Park dan padang kampus Sultan Azlan Shah akan dipenuhi pelajar yang bersedia dengan telefon bimbit masing-masing. Langit di sini tidak pernah mengecewakan, ia seolah-olah sebuah lukisan yang berubah setiap hari,” ujar seorang mahasiswa yang kerap berkongsi foto pemandangan di media sosial.

Kuasa Media Sosial Mempromosikan Daerah Muallim

Fenomena ini secara tidak langsung menjadi agen promosi percuma bagi daerah Muallim. Hantaran-hantaran kreatif oleh pelajar yang menggunakan latar belakang langit Golden Hour telah berjaya membina persepsi baharu bahawa Tanjong Malim adalah antara lokasi paling estetik untuk fotografi di Perak.

Antara lokasi yang sering menjadi pilihan untuk merakam keindahan ini termasuklah:

  • Kawasan Tasik UPSI Adventure Park: Pantulan warna langit pada permukaan air tasik mencipta suasana yang sangat tenang.
  • Kawasan Bitara & Kolej Kediaman: Struktur bangunan moden yang disinari cahaya matahari petang memberikan vibe luar negara.
  • Pekan Tanjong Malim: Di mana latar belakang bangunan warisan bersatu dengan warna langit yang dramatik.

 

Tarikan “Healing” Buat Orang Luar

Trend ini turut menarik minat pelawat dari luar daerah yang sanggup datang ke sini semata-mata untuk merasai sendiri suasana “healing” tersebut. Kebanyakan mereka menyatakan bahawa keindahan langit di sini mempunyai daya tarikan tersendiri yang sukar didapati di kawasan bandar besar.

Dengan ribuan perkongsian, tanda suka, dan komen di media sosial, “Langit UPSI” kini bukan sekadar fenomena cuaca, tetapi telah menjadi identiti visual bagi Bumi Muallim yang kian dikenali sebagai salah satu destinasi paling “Instagrammable” di Malaysia.