Oleh: Athif Sofian dan Dr Ahmad Sauffiyan Abu Hasan

Program Final Project Game Jam yang dijalankan pada 12 Januari 2026 merupakan sebuah inisiatif akademik yang dianjurkan oleh pelajar Kursus AH18 Ijazah Sarjana Muda Sains Reka Bentuk (Permainan Digital) dengan Kepujian sebagai sebahagian daripada projek akhir Semester 3 bagi subjek Principles of Programming.

Program ini bertujuan mengajak para pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk mencuba dan bermain pelbagai permainan digital yang telah dibangunkan sepenuhnya oleh pelajar semester 3 AH18. Melalui penganjuran ini, para pembangun muda berpeluang mempamerkan hasil kreativiti, kemahiran teknikal serta kefahaman mereka terhadap prinsip asas pengaturcaraan yang telah dipelajari sepanjang semester.

Menurut Shakylla Arissa, pelajar Kursus AH18, program ini menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan permainan digital yang dibangunkan oleh pelajar. selain memberi pengalaman interaktif kepada pengunjung, Final Project Game Jam turut berfungsi sebagai platform pendedahan kepada warga UPSI tentang kewujudan kursus Reka Bentuk Permainan Digital yang ditawarkan di universiti ini. Program ini secara tidak langsung membuka mata pelajar dari pelbagai fakulti terhadap potensi bidang permainan digital sebagai satu cabang industri kreatif yang semakin berkembang pesat.

Pendekatan berbentuk “hands-on” dan santai menjadikan suasana program lebih mesra pelajar, di mana peserta bukan sahaja bermain permainan digital, malah dapat berinteraksi secara langsung dengan para pembangun bagi memahami proses pembangunan permainan, cabaran yang dihadapi serta idea di sebalik rekaan permainan tersebut.

Secara keseluruhannya, Final Project Game Jam bukan sahaja menjadi medan penilaian projek akhir kursus, malah turut memperkukuhkan keyakinan pelajar dalam mempersembahkan karya digital mereka kepada umum. Program ini mencerminkan komitmen UPSI dalam menyokong inovasi, kreativiti dan pembangunan bakat pelajar selari dengan keperluan industri digital masa kini.