Oleh Adib Zukimie Bin Zamzuri & Dr Ahmad Saufiyyan Bin Abu Hassan
12 Januari 2026 – Pasar malam Proton City yang beroperasi setiap hari Ahad terus menjadi tarikan utama pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk mengisi masa lapang pada waktu malam.
Terletak berhampiran kawasan UPSI, pasar malam ini menawarkan pelbagai jenis makanan, minuman serta barangan keperluan harian dengan harga yang berpatutan. Lokasinya yang strategik memudahkan pelajar untuk berkunjung ke pasar malam tersebut.
Suasana meriah dengan deretan gerai yang pelbagai menjadikan pasar malam ini sebagai lokasi santai selepas seharian mengikuti kuliah dan tugasan akademik. Kehadiran pelajar di kawasan ini dapat dilihat terutamanya pada waktu petang apabila kawasan sekitar Proton City dipenuhi pengunjung.
Selain menyediakan pilihan makanan yang pelbagai, pasar malam ini juga memberi kemudahan kepada pelajar untuk mendapatkan barangan harian tanpa perlu ke pusat membeli-belah yang jauh. Keadaan ini membantu pelajar mengurus perbelanjaan dengan lebih berhemah.
Aktiviti mengunjungi pasar malam bukan sahaja memenuhi keperluan harian, malah menjadi ruang sosial yang membolehkan pelajar meluangkan masa bersama rakan-rakan dalam suasana santai. Situasi ini secara tidak langsung menyumbang kepada keseimbangan kehidupan akademik dan sosial pelajar.
Kewujudan pasar malam Proton City yang beroperasi secara konsisten setiap Ahad menjadikannya sebahagian daripada rutin mingguan pelajar UPSI yang menetap di sekitar kawasan tersebut.
