oleh: Puan Nora Liza Abdul Kadir

Tanjong Malim: Keupayaan berkomunikasi dengan yakin serta membina hubungan profesional yang berkesan merupakan antara faktor utama kebolehpasaran graduan dalam pasaran kerja masa kini.

Menyedari kepentingan tersebut, Pusat Pembangunan Kebolehpasaran Graduan (EDGE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan program Skill Up, Stand Out: Fast Track to Employability secara dalam talian menerusi Google Meet pada 6 Januari 2026, dari jam 11.00 pagi hingga 2.00 petang.

Program ini memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran interpersonal dan disertai oleh 50 orang peserta terdiri daripada graduan serta pelajar semasa UPSI.

Objektif penganjuran adalah untuk meningkatkan keyakinan diri peserta, memperkukuh kemahiran komunikasi berkesan dan mempersiapkan mereka menghadapi dunia pekerjaan yang semakin kompetitif.

Sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan dengan aplikasi kemahiran interpersonal dalam situasi sebenar dunia kerja seperti komunikasi profesional, kerja berpasukan, pengurusan emosi dan pembinaan hubungan kerja yang positif.

Program ini menampilkan Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Ekonomi UPSI, Dr. Siti Zubaidah Mohd Ariffin, sebagai penceramah jemputan.

Menurut beliau, “Kemahiran interpersonal bukan lagi satu kelebihan tambahan, tetapi satu keperluan asas yang membantu graduan berkomunikasi dengan yakin dan menyesuaikan diri di tempat kerja.”

Beliau turut berkongsi kaedah praktikal bagi peserta baru memasuki alam pekerjaan, termasuk cara berinteraksi dengan rakan sekerja, berkomunikasi dengan atasan, dan membawa diri secara profesional di pejabat.

“Graduan yang mampu mendengar, bekerjasama, menghormati etika kerja, dan berkomunikasi dengan berkesan akan lebih mudah menyesuaikan diri serta menonjol dalam organisasi,” jelas beliau.

Peserta memberikan maklumbalas positif, dimana mereka turut mencadangkan agar program seumpama ini diteruskan dan dianjurkan dengan lebih kerap, dengan kandungan yang lebih terperinci serta penglibatan penceramah jemputan yang berpengalaman.

Selain itu, program ini wajar diperluaskan kepada lebih ramai mahasiswa supaya ilmu yang dikongsi dapat dimanfaatkan secara menyeluruh.

Mereka juga mengharapkan agar usaha ini dapat terus menyumbang kepada pembentukan graduan UPSI yang lebih berkeyakinan, bersedia dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran dunia kerjaya.

Secara keseluruhannya, program ini mencerminkan komitmen berterusan EDGE UPSI dalam memperkasa kebolehpasaran graduan melalui penganjuran program pembangunan kemahiran insaniah yang relevan dan berimpak tinggi.

Melalui pendedahan praktikal sebegini, graduan UPSI diharap lebih yakin, bersedia, dan berdaya saing dalam menghadapi dunia kerjaya sebenar.