Oleh: Nur Nabilah Nazri

Batu Kawan – Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan ekosistem keusahawanan sosial negara melalui sokongan terhadap akreditasi Perusahaan Sosial (Social Enterprise – SE) bagi Program University to Community (UTC) 3.0.

Program UTC 3.0 yang bermula pada 3 November lalu telah menghimpunkan seramai 21 institusi yang merangkumi Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), Politeknik dan Government-Linked University (GLU) dari seluruh Malaysia.

Program ini bertujuan mengenal pasti, membangunkan dan mempertandingkan perusahaan sosial terbaik yang berteraskan impak sosial, inovasi serta kelestarian.

Sepanjang program berlangsung, para peserta menerima bimbingan intensif serta panduan strategik bagi memastikan pelaksanaan projek yang lebih berkesan dan berdaya saing.

Seterusnya, penglibatan INSKEN dalam program ini tertumpu kepada bantuan dan panduan proses akreditasi SE, yang berperanan memastikan perusahaan sosial yang dibangunkan memenuhi kriteria dan piawaian yang ditetapkan.

Inisiatif ini juga turut meningkatkan tahap profesionalisme dan kredibiliti perusahaan sosial, sekali gus dapat menyokong pelaksanaan impak sosial yang lebih tersusun, terukur dan mampan.

Selain itu, Program UTC 3.0 turut menekankan penglibatan aktif komuniti setempat sebagai penerima manfaat dalam pelaksanaan aktiviti perusahaan sosial. Pendekatan berasaskan komuniti ini membolehkan penyelesaian yang dirangka lebih relevan dengan keperluan sebenar masyarakat, di samping memberi pengalaman pembelajaran berimpak tinggi kepada pelajar dan peserta terlibat.

Secara keseluruhannya, kerjasama strategik antara INSKEN dan Program UTC 3.0 mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa keusahawanan sosial di peringkat institusi pendidikan dan komuniti. Justeru, usaha ini selari dengan aspirasi pembangunan sosioekonomi negara serta matlamat melahirkan perusahaan sosial yang berdaya maju, berimpak tinggi dan berteraskan nilai kemampanan.