Oleh: Nur Nabilah Nazri
Batu Kawan – Melalui sesi pemberian mockcheque sebanyak RM150,000 dari Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) kepada pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada baru-baru ini, PUNB secara rasminya menyatakan persetujuan untuk berperanan sebagai Rakan Strategik bagi pelaksanaan Program University to Community (UTC) 3.0, yang dilaksanakan di bawah kelolaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE).
Program ini telah bermula dari 3 November lepas dengan menghimpunkan 21 institusi yang merangkumi Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), Politeknik dan Government-Linked University (GLU) seluruh Malaysia bagi mempertandingkan perusahaan sosial terbaik dan kini baru melepasi Fasa 3 iaitu Sesi Bootcamp.
Program tersebut memberikan penekanan kepada pelaksanaan aktiviti yang berfokuskan pembangunan kapasiti keusahawanan, peningkatan kemahiran praktikal serta penglibatan aktif komuniti setempat.
Seterusnya, kerjasama strategik ini merupakan satu inisiatif bersepadu yang bertujuan memperkasakan pembangunan keusahawanan dalam kalangan pelajar IPT melalui pendekatan keusahawanan sosial, selari dengan aspirasi PUNB dalam meningkatkan pendapatan serta memperkukuh ekonomi komuniti bersasar, khususnya di peringkat akar umbi.

Bagi menyokong pelaksanaan program tersebut, PUNB telah menyalurkan dana berjumlah RM150,000. Peruntukan tersebut adalah bertujuan bagi pelaksanaan modul tambahan bersama PUNB dalam Sesi Bootcamp Program UTC 3.0, serta penganjuran Anugerah Khas PUNB dan sesi pengiktirafan selepas tamat program.
Justeru, penglibatan PUNB sebagai Rakan Strategik Program UTC 3.0 ini mencerminkan komitmen berterusan agensi tersebut dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan negara melalui kolaborasi strategik antara sektor korporat, kementerian dan IPT, sekali gus menyokong agenda pembangunan sosioekonomi yang inklusif dan mampan.
