Kuala Lumpur, 15 Januari 2026 – Centre for Inclusive Research on Community and Disability (CIRCLE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), telah mengadakan lawatan strategik dan kerjasama bersama Affin Islamic Bank di Menara Affin, TRX sebagai satu bentuk latihan kewangan inklusif dan keselamatan siber kepada pelajar pra siswazah.

Lawatan ini melibatkan penyertaan pelajar pra siswazah UPSI daripada pelbagai fakulti yang didedahkan kepada asas literasi kewangan Islam, pengurusan kewangan beretika serta kepentingan keselamatan siber dalam transaksi perbankan digital.

Pendekatan latihan ini dirangka secara inklusif, mengambil kira kepelbagaian latar belakang pelajar termasuk pelajar berkeperluan khas dan kumpulan rentan.

Selain komponen latihan, lawatan ini turut berfungsi sebagai platform perbincangan strategik antara CIRCLE dan Affin Islamic Bank dalam merangka perancangan tahunan bersama bagi tahun 2026, khususnya berkaitan pembangunan program perbankan inklusif berasaskan OKU di bawah agenda ESG dan CSR.

Perbincangan ini memberi tumpuan kepada perancangan program komuniti, penyelidikan terapan serta penilaian impak yang berasaskan bukti.

Menurut pihak penganjur, inisiatif ini mencerminkan komitmen bersama CIRCLE dan Affin Islamic Bank dalam membangunkan model kerjasama universiti–industri yang mampan, berimpak dan selari dengan agenda inklusiviti OKU.

Usaha ini juga menyokong aspirasi melahirkan graduan yang celik kewangan, peka terhadap keselamatan siber serta bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar.

Lawatan strategik ini dijangka menjadi asas kepada pelaksanaan Program Latihan Kewangan Inklusif dan Keselamatan Siber secara tahunan bermula 2026, sekali gus mengukuhkan peranan CIRCLE dan Affin Islamic Bank sebagai rakan strategik dalam memacu agenda perbankan inklusif di Malaysia.