Oleh : Mohamad Fahmi Ifwat Mohamad Zin
Tanjong Malim, 11 Januari 2026– Persatuan Persuratan Melayu (PPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya menganjurkan Program Hari Lentera Keluarga Sastera yang berlangsung dengan penuh semangat perpaduan di Gelanggang Kolej Aminuddin Baki (KAB), Kampus Proton City, baru-baru ini.
Program tersebut melibatkan penyertaan pelajar ISMP Kesusasteraan Melayu daripada Semester 1 (Kemala), 3( Anwar Ridhwan), 5 (S. Othman Kelantan) dan 7 (Abdullah Hussain) , sekali gus menjadi wadah penyatuan mahasiswa sastera merentas semester dalam satu kaedah pembelajaran yang holistik.
Pengajuran program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pelajar AT01 melalui pelaksanaan pelbagai aktiviti berasaskan kerjasama dan interaksi sosial.


Usaha ini turut bertujuan membentuk persekitaran kampus yang mesra dan harmoni serta memupuk nilai murni seperti toleransi, semangat berpasukan dan saling menghormati antara satu sama lain.
Pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan yang dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu sukan lasak dan sukaneka.
Antara sukan lasak yang dipertandingkan termasuk futsal, bola jaring dan bola tampar dengan penyertaan wakil daripada setiap semester. Aktiviti ini bukan sahaja menguji ketahanan fizikal peserta, malah menitikberatkan aspek komunikasi, kepimpinan dan kerjasama dalam pasukan.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran pensyarah Kesusasteraan Melayu serta Penasihat Persatuan Persuratan Melayu, Prof Madya Dr. Norazimah Zakaria, yang meluangkan masa bersama pelajar dalam program ini.
Kehadiran beliau mencerminkan sambutan dan sokongan positif daripada pihak pensyarah terhadap usaha memperkukuh hubungan silaturahim antara pelajar dan pensyarah di luar bilik kuliah.
Selepas tamat aktiviti sukan lasak, suasana program diteruskan dengan acara sukaneka yang lebih santai dan inklusif apabila semua pelajar mengambil bahagian dalam acara sukaneka yang telah ditetapkan.
Acara tarik tali mencuri tumpuan apabila sorakan gemuruh bergema di sekitar gelanggang, melambangkan semangat kesepaduan yang kukuh tanpa mengira perbezaan semester.
Pengarah Program Hari Lentera Keluarga Sastera berkata, penganjuran program tersebut dirancang khusus bagi merapatkan jurang antara pelajar junior dan senior.
“Pendekatan santai melalui aktiviti luar bilik kuliah ini memberi ruang kepada pelajar baharu berinteraksi secara langsung dengan pelajar senior, sekali gus mewujudkan hubungan yang lebih mesra dan terbuka,” katanya.
Tambah beliau lagi, program ini turut menjadi pengalaman berharga apabila beliau diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengarah program walaupun masih berada di semester 1.
Sokongan padu daripada pihak persatuan dan ahli jawatankuasa pelaksana menjadi faktor utama kejayaan penganjuran program Hari Lentera keluarga Sastera ini.


Program Hari Lentera Keluarga Sastera diakhiri dengan sesi penutup serta penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi acara sukan lasak dan penghargaan kepada semua kohort yang mengambil bahagian dalam program ini.
Secara keseluruhannya, program ini dilihat sebagai satu inisiatif berimpak positif dalam memperkukuh perpaduan serta membina jati diri pelajar Kesusasteraan Melayu UPSI.

