Oleh: Nur Syazana Baharudin dan Asya Adibah
Program Gelanggang Varsiti yang telah dianjurkan oleh Persatuan Persuratan Melayu (PPM) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya mencipta gema tersendiri apabila berjaya menarik perhatian seramai lebih 400 orang mahasiswa untuk hadir menyuburkan ruang sukan dan budaya dalam semarak ukhwah yang luar biasa.
Kejayaan mencapai jumlah penyertaan melebihi sasaran membuktikan keterbukaan program ini mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan warga kampus.
Program ini telah berlangsung selama 2 hari iaitu pada 25 dan 26 Oktober 2025 hasil usaha anjuran bersama Persatuan Bahasa Melayu (PERBAYU), Persatuan Anak Terengganu (PERMATA) dan Majlis Mahasiswa Anak Selangor (MASEL).
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah (Media) Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Dr. Ghazali bin Din.
Program ini digagaskan sebagai wadah inklusif untuk terus memperkasakan budaya kesukanan yang sihat, kompetetif dan beradab di samping meraih keutuhan warisan bangsa sebagai citra jati diri setiap warga kampus.
Berpaksikan slogan “Aksi Anak Suluh, Warisan Tak Luntur”, jelas menunjukkan bahawa program ini merangkum falsafah bahawa akar budaya perlu sentiasa dijunjung meskipun zaman berganti dan arus kehidupan moden mengalir deras.
Pertandingan Futsal, Larian Batik Menyulam Tradisi (LABATRA) dan Pertandingan E-Sukan (Mobile Legends Bang Bang) telah dijalankan bagi menguji ketangkasan fizikal serta kecerdasan dalam mengatur strategi sekali gus memperkukuh disiplin dan kesatuan dalam kalangan peserta.
Walau bagaimanapun, tidak dilupakan bahawa kelancaran program ini terserlah melalui komitmen tinggi yang diperlihatkan oleh pihak penganjur dan ahli jawatankuasa pelaksana yang gigih mengadakan persiapan rapi lebih awal.
Kerjasama yang erat daripada pihak fakulti, penasihat, serta sumbangan daripada pihak Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) dan Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) telah memberikan sokongan kewangan yang membantu menjayakan program ini.
Tuntasnya, Program Gelanggan Varsiti: Aksi Anak Suluh, Warisan Tak Luntur dirumuskan telah berjaya menggapai objektif yang ditetapkan dengan cemerlang.
Mahasiswa bukan sahaja memperoleh manfaat dari segi kesihatan semata malah berjaya meluaskan jaringan sosial dan dipimpin untuk menghargai warisan sebagai nadi pembinaan bangsa.
Program ini tampil bukan sekadar acara sukan tetapi sebuah pernyataan puitis bahawa warisan budaya adalah pelita dan mahasiswa adalah suluh yang mengangkatnya ke puncak gemilang. Semoga program sebegini terus diwariskan agar degup tradisi tidak pernah padam dan semangat mahasiswa terus membara.
