Oleh Wan Nur Izzah Binti Wan Roslan & Dr Ahmad Saufiyyan Bin Abu Hassan 

TANJUNG MALIM — Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) Universiti Pendidikan Sultan  Idris (UPSI) telah melancarkan “Projek Sahabat” yang berteraskan inisiatif #AyatOfTheDay  (#AOTD) bagi menyantuni kebajikan emosi dan rohani para mahasiswa di kafetaria Kolej  Harun Aminurrashid. Projek ini dijalankan bertujuan untuk memberi sokongan dan kata-kata  semangat kepada para pelajar yang kini sedang berhadapan dengan minggu perkuliahan yang  sibuk atau hectic week.

Bagi melaksanakan projek ini, kumpulan pelajar dari KeSUA akan bertindak menghampiri  rakan mahasiswa/i yang sedang berada di kafetariadengan meminta mereka untuk mengambil  sekeping kad yang disediakan. Di bahagian belakang kad tersebut, terdapat soalan, fakta, atau  petikan daripada ayat Al-Quran, hadis, dan pesanan positif yang bertujuan membantu  mahasiswa melakukan refleksi diri serta dijadikan sebagai inspirasi harian mereka.

Projek ini merupakan inisiatif berkala yang dilakukan oleh kelab ini yang mana sebelum ini  memfokuskan kepada Street Dakwah, namun kali ini “Projek Sahabat” dilaksanakan dalam  skala kumpulan yang lebih kecil. Bagi aktiviti Street Dakwah, biasanya akan mengadakan

program sokongan seperti Weekly with KeSUA (WWK) secara atas talian untuk  membincangkan topik-topik ilmiah seperti adab bersama ibu bapa.

Menurut Aisyah Amirah Al-akhtar binti Mohd Hasri, pelajar Semester 3 dari kursus Ijazah  Sarjana Muda Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling, pendekatan ini bertujuan untuk  mengajak para pelajar supaya tidak terlalu fokus kepada tekanan akademik semata-mata,  sebaliknya kembali mencari ketenangan melalui pesanan kerohanian. Beliau turut  memaklumkan bahawa projek ini dijalankan berdasarkan tiga elemen utama yang diguna pakai  oleh Kelab Ulul Albab iaitu Quranik, Ensiklopedik, dan Ijtihadik.

Ku Muhammad Arif bin Ku Khairul Nizam, pelajar Semester 3 jurusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Kewangan Islam, turut menjelaskan bahawa projek ini berasakan elemen Quranik dan mereka cuba menyampaikan kefahaman Al-Quran dalam bentuk yang berbeza. Melalui  usaha berterusan ini, KeSUA berharap agar semangat yang “dibakar” melalui #AOTD ini dapat  membantu mahasiswa UPSI mengekalkan momentum positif sehingga tamat semester.