Oleh: Ts. Dr. Afiq Radzwan, En. Wan Zul Adli Wan Mokhtar, Dr. Anis Nazihah Mat Daud, En. Mohd Faisal Mohd Yassin, Dr Faudzi Bin Umar, Nur leesya Afiqah Kamar Mohmad Zakaria, Muhammad Isyraf Firdaus Hassim, Asmimi Datu Robinson.

Tanjong Malim | 14 Januari 2026 — Sambutan Israk dan Mikraj di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah dimeriahkan dengan penganjuran Pameran Astronomi dan Aktiviti Cerapan Cakerawala yang berlangsung di Pusat Islam UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah. Program berteraskan ilmu ini berjaya menggabungkan elemen sains, pendidikan dan kerohanian dalam satu platform yang memberi pengalaman bermakna kepada warga universiti dan masyarakat setempat.

Program ini dianjurkan oleh Pusat Islam UPSI dengan kolaborasi Kelab Rakan Astronomi UPSI (RASTRO), Stargazers UPSI, Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak, Kelab Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Kelab Astronomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Penganjuran program ini mencerminkan komitmen UPSI dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan agensi berkaitan bagi memartabatkan ilmu falak serta pendidikan STEM.

Pemasangan teleskop oleh ahli kelab RASTRO
Pencerapan planet Musytari oleh para pelajar di Pusat Islam

Program yang bermula seawal jam 6.00 petang ini telah menarik penyertaan kira-kira 300 orang peserta yang terdiri daripada pelajar UPSI, ahli kelab astronomi, pensyarah dan orang awam. Kehadiran peserta daripada pelbagai latar belakang menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan terhadap pendekatan pembelajaran yang mengintegrasikan ilmu naqli dan aqli.

Pada jam 7.00 petang, reruai pameran astronomi dan sesi cerapan cakerawala dibuka kepada para peserta. Pameran tersebut memaparkan pelbagai bahan ilmiah berkaitan astronomi, termasuk pengenalan buruj bintang, planet dan sistem suria. Sesi cerapan yang dikendalikan oleh pembimbing berpengalaman memberi peluang kepada peserta mempelajari teknik asas penggunaan teleskop serta kaedah mengenal pasti objek cakerawala yang boleh diperhatikan pada waktu tersebut.

Pameran astrofotografi oleh Kelab RASTRO
Pencerapan juga turut disertai oleh Orang Besar Jajahan Muallim YDH. Toh Paduka Setia Dato’ Ir. Dr. Safry Kamal bin Hj. Ahmad, DPMP., AMK., PPT.
Pencerapan disertai oleh orang orang awam

Aktiviti cerapan ini turut berfungsi sebagai medium pendidikan yang berkesan dalam memperkenalkan asas ilmu falak kepada masyarakat. Para peserta didedahkan kepada kepentingan cerapan cakerawala dalam penentuan takwim Islam dan waktu ibadah, di samping meningkatkan kemahiran pemerhatian serta pemikiran saintifik dalam kalangan peserta.

Program dihentikan sementara pada jam 7.30 petang bagi memberi ruang kepada peserta menunaikan solat Maghrib secara berjemaah. Sesi ini menzahirkan keseimbangan antara tuntutan ilmu duniawi dan ukhrawi yang menjadi teras penganjuran program. Selepas jamuan ringkas, sesi cerapan diteruskan pada jam 7.50 malam dengan tumpuan kepada cerapan bulan dan planet menggunakan teleskop, khususnya di reruai Kelab Rakan Astronomi UPSI dengan kerjasama Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Gambar Planet Musytari yang diambil semasa pencerapan

Kemuncak program ialah Ceramah Israk dan Mikraj yang bermula pada jam 8.30 malam. Ceramah ini menekankan pengajaran dan hikmah peristiwa Israk dan Mikraj serta kaitannya dengan kekuasaan dan kebesaran Allah SWT yang terserlah melalui penciptaan alam semesta. Pendekatan ceramah yang mengaitkan ilmu agama dan sains astronomi berjaya menarik minat peserta serta memberikan perspektif baharu terhadap kepentingan ilmu falak dalam Islam.

Program diakhiri dengan sesi bergambar, solat Isyak berjemaah dan bersurai pada jam 10.30 malam. Secara keseluruhannya, pameran astronomi dan aktiviti cerapan ini telah mencapai objektif penganjuran dengan jayanya. Selain menambah pengetahuan tentang astronomi, program ini turut memupuk rasa kagum, kesedaran dan keinsafan terhadap kebesaran Allah SWT dalam kalangan peserta.

Penganjuran program seumpama ini wajar diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha berterusan UPSI dalam memperkasa pembelajaran berasaskan pengalaman dan penglibatan komuniti, selari dengan aspirasi BITARA 2.0 yang menekankan pembangunan insan holistik. Inisiatif ini juga menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti melalui penyediaan akses pembelajaran sains dan astronomi yang inklusif serta berimpak kepada masyarakat.