Sesi penyerahan perangkap kamera oleh Pengurus Besar MPOGCF, En Hairulazim Mahmud (dua dari kanan) kepada PM Dr Syakirah (tiga dari kiri) oleh delegasi MPOGCF yang disampaikan di UPSI Edu-ForestSesi penyerahan perangkap kamera oleh Pengurus Besar MPOGCF, En Hairulazim Mahmud (dua dari kanan) kepada PM Dr Syakirah (tiga dari kiri) oleh delegasi MPOGCF yang disampaikan di UPSI Edu-Forest

Oleh: Ily Natasha Mohd Saupi, Nurin Nasuha Mohd Safre & Prof Madya Dr Syakirah Samsudin

Tanjong Malim, 20 Januari 2026 – Pihak Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) telah memberi sumbangan 10 buah perangkap kamera yang telah digunakan dalam kajian terdahulu kepada pensyarah kanan Jabatan Biologi, Profesor Madya Dr. Syakirah Samsudin, yang merupakan ahli kepada Centre for Biodiversity and Conservation (CeBEC) dalam Majlis Penyerahan Perangkap Kamera MPOGCF di UPSI Edu-Forest hari ini. 

Perangkap kamera ini akan dipasang di UPSI Edu-Forest untuk mendapatkan maklumat mengenai haiwan terutamanya mamalia yang terdapat di UPSI Edu-Forest bagi tujuan penyelidikan dan pendidikan autentik.

Majlis yang dianjurkan oleh para pelajar pascasiswazah Program Sarjana Pendidikan Sains (MEd Sc) dan CeBEC UPSI ini bertujuan untuk memperkukuh kerjasama strategik antara UPSI dan MPOGCF, serta memberi pendedahan pembelajaran dalam dunia sebenar dan perkongsian data kajian bagi sokongan akademik pelajar.

Berpengalaman mengkaji banjaran kediaman mamalia kecil di Hutan Simpan Bangi, Selangor dan Inventori Biodiversiti Mamalia Kecil di Tasek Bera, Pahang, Dr Syakirah melahirkan rasa gembira dan teruja untuk mengkaji biodiversiti dan banjaran kediaman mamalia terutama mamalia kecil di UPSI Edu-Forest.

Dr Syakirah yang juga merupakan Penyelaras Program Sarjana Pendidikan Sains menyatakan penglibatan pelajar pascasiswazah ini adalah sebahagian daripada pendedahan kepada para pelajar tentang situasi sebenar di luar bilik darjah dan menggalakkan pembelajaran autentik dan memperkasa kompetensi Guru Sains yang diukur dan dilaporkan oleh Program ini dalam Malaysian Qualification Statement (MQS).  

Dekan Fakulti Sains dan Matematik UPSI, Profesor Dr. Mohd Faizal Nizam Lee bin Abdullah, (duduk empat dari kanan) menyempurnakan perasmian Majlis Penyerahan Perangkap Kamera (MPOGCF) dan Lawatan Kerja Konservasi di UPSI

Terdahulu Dekan Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Profesor Dr. Mohd Faizal Nizam Lee bin Abdullah, telah merasmikan Majlis Penyerahan Perangkap Kamera MPOGCF dan Lawatan Kerja Konservasi di UPSI.

Beliau menyatakan hasratnya agar usaha ini dapat diteruskan dan diperkukuh pada masa hadapan sebagai platform kerjasama strategik dalam menyokong penyelidikan konservasi serta pembelajaran berasaskan lapangan melalui Program Sarjana Pendidikan Sains (Med Sc).

Pengurus Besar MPOGCF, Encik Hairulazim Mahmud, melahirkan penghargaan atas inisiatif kerjasama yang dijalinkan oleh pihak universiti.

Turut sama hadir dalam majlis ini adalah En Ahmad Shahdan bin Kasim, Pengurus Pemuliharaan dan Kemampanan MPOGCF dan tiga eksekutif Pemuliharaan dan Kemampanan MPOGCF dalam Majlis tersebut. 

Majlis ini juga turut dihadiri oleh barisan pengurusan UPSI antaranya Pengarah UCTC, Profesor Dr. Mohd Azlan Nafiah, Timbalan Dekan (Jaringan Industri Dan Pengkomersilan) FSM, Dr. Fatimah Azzahra binti Ahmad Rashid dan Penyelaras CeBEC, Encik Zahid bin Mat Said. 

Pemasangan perangkap kamera di lokasi strategik berhampiran pokok yang
 mempunyai kesan cakaran di UPSI Edu-Forest.
 

Beberapa lokasi strategik untuk pemasangan perangkap kamera telah dikenalpasti termasuklah berhampiran pokok yang mempunyai kesan cakaran di UPSI Edu-Forest.

Melalui pemasangan perangkap kamera ini, penyelidik dapat mengenalpasti spesies haiwan yang terdapat di sekitar lokasi perangkap kamera, menentukan banjaran kediaman haiwan dan dapat mencadangkan strategi pemuliharaan yang boleh dijalankan di UPSI Edu-Forest. 

Lawatan lokasi yang berpotensi untuk pemasangan perangkap kamera bersama kesemua delegasi MPOGCF dan 8 orang dari UPSI merupakan satu aktiviti bersama untuk meninjau peluang kerjasama dan potensi penyelidikan di masa akan datang.

Sesi lawatan lapangan ke kawasan hutan UPSI Edu-Forest bagi tujuan
               tinjauan dan pengenalpastian lokasi sesuai untuk pemasangan perangkap kamera.

UPSI Edu-Forest telah dijadikan tempat penyelidikan ini kerana ia merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Behrang yang mempunyai puncak tertinggi melebihi 1900 meter dan terdapatnya Gunung Liang, sebuah gunung berkembar yang terdiri daripada dua puncak utama dan terkenal sebagai antara laluan pendakian lasak di kawasan Behrang, Perak.

Kawasan gunung ini dilitupi hutan tanah tinggi yang tebal dan menjadi habitat semula jadi kepada pelbagai spesies flora dan fauna. Data dari Ekspedisi Biodiversiti Hutan Simpan Behrang yang diadakan pada tahun 2024 menunjukkan rekod kepelbagaian spesies haiwan dan tumbuhan di hutan ini.  

Taklimat tentang koleksi haiwan di Muzium Zoologi oleh Pn Marina binti Karunzaman, Kurator Muzium Zoologi
Taklimat tentang koleksi Herbarium Flora Perak oleh penyelidik UPSI,
 PM Dr Fatimah binti Mohamed (tengah) dan PM Dr Nor Nafizah binti Mohd Noor (kiri)

Selain sesi penyerahan perangkap kamera, delegasi MPOGCF juga mengadakan lawatan kerja di Herbarium Flora Perak dan Muzium Zoologi di Fakulti Sains dan Matematik, UPSI.

Herbarium Flora Perak merupakan pusat rujukan flora negeri Perak bagi pengajaran dan penyelidikan, manakala Muzium Zoologi menempatkan koleksi spesimen fauna yang diawet dan didokumentasikan secara sistematik bagi tujuan pendidikan.

Lawatan ini memberi gambaran tentang peranan institusi akademik dan penyimpanan data biodiversiti serta sokongan kepada aktiviti penyelidikan dan pemuliharaan.

Program ini secara keseluruhannya telah mencapai objektif penganjuran dengan menyokong pelaksanaan kajian konservasi haiwan berasaskan data empirikal melalui penggunaan perangkap kamera yang disumbangkan oleh MPOGCF, di samping memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara UPSI dan MPOGCF dalam bidang penyelidikan dan pendidikan alam sekitar berkaitan konservasi biodiversiti. 

Program ini juga memberi pendedahan pembelajaran autentik kepada pelajar MEd Sc serta membolehkan perkongsian data kajian secara terancang bersama CeBEC bagi tujuan sokongan akademik dan pembangunan ilmu. Inisiatif ini sekali gus mencerminkan komitmen berterusan UPSI dan rakan industri dalam menyokong pembangunan ilmu serta pemuliharaan alam sekitar secara mampan.