Oleh Faqih Isahak Udin

Tanjong Malim, 17 Januari 2026 – Kelab Al-Mursyidin telah berjaya menganjurkan Program Safari Dakwah Kelab Al-Mursyidin dengan kerjasama Masjid Kampung Sungai Dara pada Sabtu lalu.

Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang ini telah diadakan di Masjid Kampung Sungai Dara dan disertai oleh seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada ahli Kelab Al-Mursyidin serta Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Kampung Sungai Dara.

Program ini telah dijalankan di bawah bimbingan Penasihat Kelab Al-Mursyidin, Ustaz Mohd Ali bin Abd Malek, serta mendapat sokongan penuh daripada pihak pengurusan masjid yang dipengerusikan oleh Haji Hanafi bin Haji Yaakob.

Penganjuran program Safari Dakwah ini bertujuan untuk menjalinkan hubungan sosial yang erat antara Masjid Al-Mursyidin dengan masjid-masjid di sekitar Tanjong Malim.

Selain itu, program ini turut menjadi medium untuk merealisasikan aspirasi Kelab Al-Mursyidin dalam menyebarkan dakwah Islam merentasi sempadan universiti, di samping menarik minat mahasiswa dan mahasiswi untuk menyantuni masyarakat melalui pendekatan pendidikan Islam yang holistik dan berkesan.

Antara aktiviti utama yang dilaksanakan ialah gotong-royong bersama AJK Masjid Kampung Sungai Dara serta sesi perkongsian dua hala yang membincangkan peranan masjid sebagai pusat dakwah dan pembangunan masyarakat.

Sesi perkongsian ini turut disokong dengan pandangan dan pengalaman daripada pihak pengurusan masjid yang diketuai oleh Haji Hanafi bin Haji Yaakob, sekali gus memberi pendedahan bermakna kepada para peserta mengenai pengurusan serta pelaksanaan aktiviti masjid di peringkat akar umbi.

Program Safari Dakwah ini menerima sambutan yang amat memberangsangkan, dengan suasana program yang penuh keceriaan dan semangat kebersamaan.

Kerjasama erat antara mahasiswa, pihak pengurusan masjid serta bimbingan berterusan daripada Ustaz Mohd Ali bin Abd Malek jelas mencerminkan semangat ukhuwah dan komitmen bersama dalam usaha memperkasakan institusi masjid sebagai pusat penyatuan ummah.

Secara keseluruhannya, Program Safari Dakwah Kelab Al-Mursyidin berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan, termasuk menyediakan pengisian program yang bermanfaat kepada masjid-masjid sekitar Tanjong Malim serta memudahkan pelaksanaan program melalui kerjasama strategik antara masjid.

Diharapkan agar program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan demi memperkukuhkan jaringan dakwah dan hubungan masyarakat Islam.