Oleh : Muqri Nizam dan Mohamad Kamal Kamaruddin
KUALA LUMPUR, 15 Januari 2026– Exco Arkib dan Dokumentasi Persatuan Mahasiswa Sejarah (PERMAS), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Program Lawatan Akademik ke Arkib Negara Malaysia bagi memberi pendedahan langsung kepada mahasiswa mengenai pengurusan dan kepentingan sumber sejarah negara.
Program tersebut melibatkan seramai 150 peserta yang terdiri daripada 130 pelajar Batch Tun Teja serta 20 Ahli Jawatankuasa PERMAS. Lawatan ini bertujuan meningkatkan kefahaman pelajar tentang fungsi dan peranan Arkib Negara Malaysia sebagai pusat penyimpanan dokumen serta rekod sejarah bernilai tinggi.




Sepanjang program, peserta mengikuti sesi taklimat oleh pegawai Arkib Negara Malaysia yang menghuraikan sejarah penubuhan institusi itu, jenis bahan arkib yang dipelihara serta kepentingannya dalam penyelidikan akademik dan pemuliharaan warisan negara. Pelajar turut didedahkan kepada kaedah pengurusan arkib dan penggunaan sumber primer dalam kajian sejarah.
Lawatan ini diiringi pensyarah penyelaras kursus Teori dan Kaedah Sejarah, Dr. Siti Zahrah Mahfood, yang membantu menghubungkan pembelajaran teori dengan aplikasi praktikal di lapangan.

Menurut penganjur, program berkenaan memberi nilai tambah kepada pengalaman pembelajaran mahasiswa selain menyemai minat mendalam terhadap bidang sejarah. Inisiatif ini mencerminkan komitmen PERMAS dalam memperkasa pembangunan akademik mahasiswa melalui pendekatan pembelajaran holistik dan berimpak tinggi.
