Oleh: Noor Rabiatullazwa Marojek
TANJONG MALIM, 27 Disember 2025 – Program Perkongsian Amalan Terbaik dan Terkini dalam Pedagogi dan Andragogi di Belgrade telah berjaya dianjurkan secara dalam talian menerusi platform Google Meet dengan penyertaan mahasiswa dan pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan.
Program ini dianjurkan bertujuan memberi pendedahan kepada mahasiswa terhadap amalan terbaik serta perkembangan semasa dalam bidang pedagogi dan andragogi di peringkat antarabangsa, khususnya dari University of Belgrade, Serbia. Penganjuran program ini juga selari dengan usaha fakulti untuk memperkukuh jaringan akademik antarabangsa serta meningkatkan kualiti pembelajaran global.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan sebelum diteruskan dengan bacaan doa. Program ini telah dirasmikan oleh Dr. Kamarul bin Ismail, Timbalan Dekan Jaringan Antarabangsa dan Pengkomersilan, Fakulti Sains Kemanusiaan. Dalam ucapan perasmian beliau, program seumpama ini dilihat sebagai platform penting dalam memperluas perspektif mahasiswa terhadap sistem pendidikan antarabangsa serta memupuk budaya perkongsian ilmu merentas negara.
Sesi perkongsian utama telah disampaikan oleh Dr. Nikola Koruga dari University of Belgrade, Serbia yang berkongsi amalan terbaik, pendekatan inovatif serta cabaran semasa dalam pelaksanaan pedagogi dan andragogi di institusi pengajian tinggi. Perkongsian tersebut memberi penekanan kepada kaedah pengajaran berfokuskan pembelajaran dewasa, penggunaan pendekatan interaktif, serta kepentingan konteks budaya dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Program ini turut dikendalikan oleh Dr. Shakila binti Che Dahalan, Pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan selaku moderator yang berjaya mengemudi sesi perkongsian dan perbincangan secara teratur dan berkesan. Sesi soal jawab yang berlangsung selepas pembentangan mendapat sambutan yang menggalakkan apabila para peserta mengambil peluang mengemukakan soalan dan pandangan berkaitan topik yang dibincangkan.

Program ini telah mencapai objektif yang ditetapkan dengan berjaya, di samping memberi pengalaman pembelajaran bermakna kepada para peserta melalui pendedahan langsung terhadap amalan pendidikan antarabangsa. Penganjuran program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak kolaborasi akademik dan program perkongsian ilmu pada masa hadapan.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak fakulti, penceramah jemputan, moderator, barisan Ahli Jawatankuasa Pelaksanaan serta semua peserta yang telah memberikan komitmen dan kerjasama bagi menjayakan program ini.
