Oleh: Reeza Fahmi, Ruhul Iman, Rafiq Irfan, Mahzuz Irfan
Tanjong Malim, 18 Januari 2026 – Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (KAB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi sidang 2025/2026 telah menganjurkan sebuah program berteraskan sukan yang dinamakan FunFit Fiesta KAB 2.0 pada 18 Januari 2026.
Program ini melibatkan semua mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris, khususnya penghuni Kolej Aminuddin Baki, dan merupakan satu inisiatif berfokuskan sukan, kecergasan serta kesejahteraan pelajar yang dirancang dengan teliti bagi menyokong pembangunan holistik warga UPSI.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan pihak kolej dalam mewujudkan persekitaran kampus yang aktif, sihat dan seimbang, selaras dengan aspirasi universiti ke arah pembentukan modal insan yang berkualiti.



Program ini telah dianjurkan oleh Exco Sukan Kolej Aminuddin Baki Sidang 2025/2026 dan melibatkan tujuh jenis sukan yang berbeza, iaitu bola tampar, bola jaring, futsal, sepak takraw, catur, PUBG dan Mobile Legends.
Kehadiran seramai 300 orang peserta yang terdiri daripada barisan Felo Kolej, Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki serta warga Universiti Pendidikan Sultan Idris membuktikan kejayaan penganjuran program ini dalam meningkatkan semangat kesukanan dalam kalangan peserta.
Dalam era moden yang dipenuhi dengan tuntutan akademik serta penggunaan teknologi secara berlebihan, aspek kesihatan fizikal dan mental sering kali terpinggir. Justeru, FunFit Fiesta diperkenalkan sebagai platform alternatif yang memberi ruang kepada pelajar untuk melibatkan diri dalam aktiviti fizikal secara santai namun berimpak tinggi.
Program ini bukan sekadar sebuah acara sukan, malah berperanan sebagai medium penting dalam menggalakkan budaya gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar tanpa mengira latar belakang, tahap kecergasan atau pengalaman dalam bidang sukan. Elemen keseronokan yang diterapkan menjadikan FunFit Fiesta bukan sahaja menarik, malah mampu meninggalkan kesan yang bermakna kepada setiap peserta yang terlibat.
Peserta yang berjaya dalam pertandingan yang dipertandingkan turut menerima hadiah bagi setiap kategori, bermula daripada tempat ketiga sehingga johan sebagai penghargaan atas usaha dan semangat kesukanan yang ditunjukkan.
Diharapkan agar FunFit Fiesta Kolej Aminuddin Baki 2.0 bukan sekadar menjadi acara tahunan, malah berkembang sebagai satu budaya dalam kehidupan kampus.
Program ini wajar dijadikan contoh usaha berterusan dalam mempromosikan gaya hidup aktif dan sihat, selari dengan keperluan generasi muda masa kini. Kesedaran yang dipupuk melalui program ini diharapkan dapat diteruskan dalam kehidupan seharian pelajar, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan diri dan komuniti secara keseluruhan.



Akhir kata, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan FunFit Fiesta Kolej Aminuddin Baki 2.0 2026.
Semoga segala usaha dan komitmen yang dicurahkan diberkati serta memberi manfaat yang berpanjangan. Diharapkan program ini bukan sahaja mencipta kenangan indah, malah menjadi langkah awal ke arah pembentukan warga UPSI yang lebih sihat, aktif dan berdaya saing.
