oleh Nur Syazwana Che Ghani dan Bazli Razak
KUALA LUMPUR, 18 November 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh agenda pembangunan kepimpinan mahasiswa apabila lima pelajarnya menyertai Program YouLead ASEAN School of Youth Leadership 2025 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Program yang berlangsung dari 15 hingga 18 November di Higher Education Leadership Academy (AKEPT) itu menghimpunkan wakil belia dan pemimpin pelajar dari 11 negara ASEAN bagi memperkasa jaringan kepimpinan, pertukaran idea serta pemahaman rentas budaya di peringkat serantau.
Daripada jumlah itu, tiga merupakan wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI iaitu Nur Syazwana, Ivan Low Wei dan Noor Azrain.
Penyertaan berkenaan bertujuan meningkatkan kompetensi kepimpinan mahasiswa melalui pengukuhan kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan pembuatan keputusan strategik, di samping menggalakkan semangat kerjasama serta persefahaman antara pemimpin belia ASEAN.
Program berkenaan turut memberi pendedahan kepada model kepimpinan belia bertaraf antarabangsa yang menekankan nilai integriti, akauntabiliti dan tanggungjawab sosial, selain membina jaringan kolaborasi strategik antara institusi pengajian tinggi serantau.
Sepanjang empat hari program, peserta mengikuti pelbagai aktiviti berimpak tinggi termasuk latihan kepimpinan, pembinaan pasukan, pertukaran budaya, sesi dialog dan lawatan pembelajaran.



Naib Canselor UPSI, Md Amin Md Taff turut dijemput sebagai panel forum bersama Pengarah AKEPT, Harshita Aini Haroon bagi membincangkan hala tuju kepimpinan belia ASEAN dan peranan institusi pendidikan tinggi sebagai pemacu perubahan.
Sementara itu, Johari Abdul berkongsi pandangan mengenai kepimpinan dalam sesi khas bersama peserta selepas majlis perasmian.
Peserta juga mengikuti perkongsian eksklusif daripada Education Malaysia Global Services (EMGS) berhubung mobiliti pelajar dan diplomasi pendidikan.
UPSI dalam kenyataan memaklumkan penyertaan itu bukan sahaja memperluas pengalaman kepimpinan mahasiswa di peringkat antarabangsa, malah memperkukuh hubungan strategik universiti dengan rangkaian kepimpinan belia ASEAN.

