Peserta Bengkel Pemantapan Kewangan bersama Yayasan Perkasa Siswa.Peserta Bengkel Pemantapan Kewangan bersama Yayasan Perkasa Siswa.

Oleh Nur Fazlin Adilah Jefre Zian dan Bazli Razak

KUALA LUMPUR, 13 Disember 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menghantar empat wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi menyertai Bengkel Pemantapan Pengurusan Kewangan MPP 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula 11 Disember di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur.

Bengkel anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi itu menghimpunkan Majlis Tertinggi MPP universiti awam seluruh negara bagi memperkukuh aspek tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan dana serta sumber kewangan pelajar.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Azlinda Azman berkata pengurusan kewangan yang telus dan berintegriti merupakan teras kepada kepimpinan pelajar yang bertanggungjawab.

“Pendedahan awal mengenai governan, tadbir urus dan pencegahan rasuah akan membentuk pemimpin muda yang lebih berwibawa serta dipercayai,” katanya ketika berucap merasmikan bengkel berkenaan.

Beliau berkata pemimpin mahasiswa perlu bersedia mengaplikasikan ilmu pengurusan kewangan bukan sahaja dalam organisasi pelajar, malah sebagai persediaan memimpin masyarakat pada masa hadapan.

Penyertaan MPP UPSI dalam bengkel itu bertujuan memberi kefahaman mendalam mengenai tatacara dan peraturan kewangan universiti, meningkatkan kemahiran mengurus dana, geran dan sumbangan secara berakauntabiliti serta membina jaringan profesional bersama pihak berkaitan termasuk Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan institusi kewangan.

Majlis Tertinggi MPP 2025/2026 bersama Ybhg. Prof. Datuk Dr.Azlinda Binti Azman
(Ketua Pengarah Pendidikan (KPPT)) dan Encik Hilam Bin Awang.
 
Majlis Tertinggi MPP 2025/2026 bersama oleh pakar RHB Islamic.

Sepanjang bengkel, peserta mengikuti sembilan sesi utama merangkumi penerangan tatacara dan peraturan kewangan universiti oleh Pengerusi Majlis Bendahari Universiti Awam, sesi bersama Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan Tinggi, taklimat governan dan tadbir urus oleh Timbalan Ketua Pengarah (Governan dan Pembangunan) JPT serta perkongsian Bahagian Hal Ehwal Pelajar JPT.

Peserta turut didedahkan kepada aspek pencegahan rasuah oleh SPRM, literasi kewangan oleh RHB Islamic Bank Berhad serta pengurusan geran aktiviti oleh Yayasan Perkasa Siswa.

UPSI dalam kenyataan memaklumkan bengkel itu memberi pendedahan menyeluruh dari aspek teori dan aplikasi praktikal, sekali gus membantu memperkasa kepimpinan mahasiswa yang berdaya saing, profesional dan berintegriti di peringkat nasional.