Oleh: Ts. Dr. Afiq Radzwan, Wan Zul Adli Wan Mokhtar, Mohd Faisal Mohd Yassin, Dr. Rosazley Ramly & Dr Faudzi Umar
Tanjong Malim, 11 Mac – Aktiviti pencerapan fenomena Bulan suku terakhir Ramadan anjuran Unit Stargazers UPSI telah menjadi antara pengisian menarik dalam program SANTUN JKPU @ FSM 2026, sekali gus menarik minat warga Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk menyaksikan fenomena langit secara langsung melalui teleskop.
Program yang berlangsung pada 11 Mac 2026 (Rabu), dari jam 9.00 pagi hingga 12.30 tengah hari di Bilik Mesyuarat Utama FSM, Blok 1, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) itu menghimpunkan pensyarah, staf serta wakil pelajar dalam suasana santai bagi mengeratkan hubungan antara warga fakulti dan pengurusan universiti.
SANTUN JKPU 2026 merupakan program siri jelajah Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) UPSI yang bertujuan menyantuni warga fakulti dan pusat tanggungjawab (PTJ) secara langsung.



Program ini menampilkan sesi dialog, perkongsian hala tuju universiti serta pendekatan turun padang bagi mendekati staf di peringkat akar umbi dalam usaha memperkukuh hubungan, meningkatkan produktiviti organisasi serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan warga universiti.
Bagi memeriahkan program tersebut, Unit Stargazers UPSI telah menganjurkan aktiviti pencerapan Bulan yang diadakan di hadapan Bilik Mesyuarat Utama FSM bagi membolehkan peserta melihat fenomena Bulan secara langsung di ruang terbuka.
Teleskop digunakan dalam aktiviti ini bagi membolehkan peserta melihat Bulan dengan lebih jelas dan dekat. Melalui bantuan teleskop, peserta berpeluang memerhati dengan lebih terperinci ciri-ciri permukaan Bulan seperti kawah, dataran gelap (mare) serta garisan terminator yang memisahkan bahagian terang dan gelap Bulan.


Bagi memastikan kelancaran aktiviti tersebut, ahli Unit Stargazers UPSI turut terlibat secara langsung dalam membantu peserta menggunakan teleskop serta memberi penerangan mengenai fenomena Bulan yang diperhatikan.
Antara ahli yang terlibat ialah Ts. Dr. Afiq Radzwan, Wan Zul Adli Wan Mokhtar dan Mohd Faisal Mohd Yassin, yang membimbing peserta untuk melihat dengan lebih jelas permukaan Bulan melalui teleskop serta berkongsi pengetahuan asas mengenai fenomena astronomi tersebut.
Fenomena yang diperhatikan ialah Bulan fasa suku terakhir (Last Quarter Moon) yang lazimnya kelihatan tinggi di langit pada waktu awal pagi.
Fasa ini berlaku apabila Bulan berada kira-kira tiga perempat daripada kitaran orbitnya mengelilingi Bumi. Kemunculan Bulan pada waktu pagi ini juga bertepatan dengan tempoh sepuluh malam terakhir Ramadan, iaitu waktu yang amat dinantikan oleh umat Islam kerana dipercayai berlakunya malam Lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
Aktiviti pencerapan ini menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada warga fakulti. Ramai peserta meluahkan rasa teruja kerana berpeluang melihat sendiri permukaan Bulan dengan lebih jelas melalui teleskop, malah terdapat juga yang mengambil kesempatan merakam gambar Bulan menggunakan telefon pintar melalui teleskop sebagai kenangan pengalaman tersebut.
Menariknya, wakil Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) turut meluahkan rasa teruja apabila berpeluang melihat permukaan Bulan melalui teleskop buat pertama kali.
Pengalaman tersebut memberi perspektif baharu kepada mereka untuk menghargai keindahan fenomena langit serta memahami dengan lebih dekat ciri-ciri permukaan Bulan yang dapat diperhatikan secara langsung.


Selain itu, aktiviti pencerapan ini turut disiarkan secara langsung melalui platform TikTok di akaun rasmi Stargazers UPSI, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai dan komuniti dalam talian untuk turut menyaksikan fenomena Bulan yang diperhatikan serta mengikuti aktiviti astronomi yang dijalankan oleh komuniti tersebut.
Penganjuran aktiviti ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4: Pendidikan Berkualiti) melalui usaha memperluaskan literasi sains dan astronomi dalam kalangan warga universiti.
Secara keseluruhannya, aktiviti ini bukan sahaja memeriahkan program SANTUN JKPU @ FSM 2026, malah turut menjadi platform pendidikan santai yang mampu memupuk minat terhadap astronomi serta meningkatkan penghargaan terhadap fenomena langit malam dalam kalangan komuniti universiti.
