oleh: Dr. Ijlal Mohd Diah, Dr. Nurihan Nasir, Fathur Rohman Niram dan Auni Aqilah Harifin. Fakulti Sains dan Matematik.

TANJUNG MALIM 3 April 2026 – Seramai 38 orang barisan kepimpinan Persatuan Sains Matematik, atau lebih dikenali sebagai Mathematics Society (MathSoc), Universiti Sains Malaysia telah mengadakan lawatan ke Universiti Pendidikan Sultan Idris, secara amnya, dan ke Fakulti Sains dan Matematik (FSM) secara khusus.

Lawatan ini dilaksanakan menerusi program Jelajah Integrasi: The Math and Mindset USM x UPSI, yang merupakan anjuran bersama MathSoc dan Persatuan Mahasiswa Matematik UPSI (PMMU), dengan kerjasama Jabatan Matematik, Fakulti Sains dan Matematik.

Program ini bertujuan memperkukuhkan hubungan serta memupuk perkongsian ilmu antara dua badan pelajar daripada institusi yang berbeza, di samping menggalakkan pertukaran idea dan pengalaman dalam bidang matematik.

Jelajah Integrasi: The Math and Mindset USM X UPSI

Program ini merupakan satu inisiatif yang bertujuan untuk memperkukuh hubungan antara persatuan Matematik di pelbagai institusi pengajian tinggi.

Melalui program ini, satu platform disediakan bagi membolehkan setiap persatuan berkongsi maklumat, bertukar pandangan serta membincangkan idea-idea baharu ke arah memperkasa pembangunan komuniti Matematik di peringkat kampus.

Selain itu, ia turut memberi peluang kepada badan pelajar untuk memahami struktur organisasi, teras aktiviti serta hala tuju strategik setiap persatuan, sekaligus membina jaringan yang kukuh.

Inisiatif ini juga membuka ruang kepada potensi kerjasama dalam penganjuran program akademik, aktiviti pembangunan kemahian serta usaha memupuk minat terhadap bidang Matematik dalam kalangan mahasiswa universiti.

Program yang berlangsung selama satu hari ini bukan sahaja diisi dengan slot perkongsian ilmu antara dua persatuan, malah turut diisi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti aktiviti permainan, persembahan dan jamuan makan malam.

Program dimulakan dengan Majlis Perasmian Program Jelajah Integrasi: The Math and Mindset USM X UPSI yang dirasmikan oleh Dr. Nurihan binti Nasir selaku Penasihat PMMU.

Slot 1: Perkongsian PMMU X MathSoc

Slot pertama menampilkan sesi perkongsian antara Majlis Tertinggi PMMU dan MathSoc yang dijalankan di Bilik Mesyuarat Fakulti Sains dan Matematik.

Slot ini berlangsung dalam suasana ilmiah dan interaktif di mana kedua-dua pihak berpeluang untuk berkongsi pengalaman, struktur organisasi persatuan dan pendekatan dalam penganjuran program serta cabaran yang dihadapi dalam menguruskan persatuan masing-masing.

Melalui perkongsian ini kedua-dua pihak dapat memperoleh ilmu baharu serta idea dalam penambahbaikan yang boleh diaplikasikan dalam persatuan mereka pada masa akan datang.

Slot 2: Aktiviti Interaktif

Sejurus selesai slot perkongsian, program diteruskan lagi dengan pelbagai aktiviti interaktif yang menarik seperti Langkah Seirama Challenge, Balance Ball Rush dan Water Transfer War.

Aktiviti-aktiviti ini dirancang bukan sahaja untuk menceriakan suasana, malah bertujuan menggalakkan kerjasama berpasukan, meningkatkan kemahiran komunikasi serta membina kepercayaan antara ahli kumpulan.

Slot 3: Maths Night

Pada sebelah malam, program diteruskan dengan pengisian Maths Night yang bermula pada jam 8.00 malam dalam suasana yang lebih santai namun tetap bermakna.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada Yang Dipertua PMMU, saudara Fathur Rohman bin Niram dan diikuti ucapan daripada Yang Dipertua MathSoc, saudari Amirah Batrisyia binti Taib.

Majlis juga diserikan dengan persembahan daripada MathSoc serta pemberian cenderamata daripada kedua-dua pihak sebagai tanda kenangan dan penghargaan dan diakhiri dengan jamuan makan malam.

Keesokan harinya, delegasi MathSoc USM bertolak meneruskan jelajah mereka ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor seawal jam 8.00 pagi bagi menyertai fasa seterusnya dalam program Jelajah Integrasi.

Secara keseluruhannya, program Jelajah Integrasi: The Math and Mindset USM X UPSI ini berjaya mencapai objektif dalam memperkukuh hubungan antara institusi serta membuka ruang perkongsian ilmu, pengalaman dan jaringan kerjasama yang lebih luas pada masa hadapan.